Khamis, 23 Jun 2022 | 2:53pm

Hasil durian 'menjadi', harga pun turun

BUTTERWORTH: Pengeluaran hasil durian di beberapa kawasan seperti Pulau Pinang dan Perak yang di luar jangka menjadikan beberapa jenis raja buah itu, khususnya Musang King dijual pada harga berpatutan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah, berkata keadaan membolehkan ramai golongan dapat menikmati keenakan buah bermusim yang berada dalam kategori premium itu.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan pengeluaran durian pada musim kali ini berkurangan antara 30 hingga 40 peratus, berbanding tahun sebelumnya berikutan faktor cuaca yang tidak menentu.

"Bagaimanapun, jangkaan itu meleset apabila kebanyakan durian 'menjadi', bahkan dilaporkan hasil pengeluarannya meningkat hingga buah dari varieti Musang King menunjukkan penurunan harga dan mampu dibeli bagi penggemar raja buah untuk musim kali ini.

"Kita tiada data itu (hasil pengeluaran durian), tetapi apa yang boleh dikatakan hasil durian kali ini begitu menjadi kerana dalam lawatan saya mendapati buah Musang King dijual tidaklah mahal sangat kerana pengeluarannya meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program FAMA Fest Pulau Pinang di sebuah pasar raya di Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah FAMA, Datuk Zainal Abidin Yang Razalli dan Pengerusi Jawatankuasa Agro Teknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri, Dr Norlela Ariffin.

Ahmad berkata, program FAMA Fest yang dianjurkan selama lima hari bermula semalam bertujuan membantu menambah ruang pasaran kepada usahawan dalam memasarkan produk agromakanan, sekali gus dapat mencapai nilai jualan sebanyak RM500,000.

"Pembukaan ruang pasaran ini kepada usahawan dan pengunjung menunjukkan usaha berterusan MAFI melalui FAMA dalam menunjukkan tahap sekuriti makanan negara terjamin," katanya.

Pada program itu, jualan durian seperti Musang King dijual antara RM30 hingga RM35 sekilogram, manakala bagi buah-buahan tempatan pula berharga RM30 bagi satu talam.

Ahmad Hamzah (kiri) melihat durian Musang King yang dijual pada Program FAMA Fest Pulau Pinang di sini, hari ini. - Foto NSTP/Danial Saad
Ahmad Hamzah (kiri) melihat durian Musang King yang dijual pada Program FAMA Fest Pulau Pinang di sini, hari ini. - Foto NSTP/Danial Saad
Berita Harian X