Khamis, 23 Jun 2022 | 1:45pm
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan
Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan

Pindaan Akta DBP bukan soal hukuman semata-mata

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 yang sedang digubal ketika ini tidak tertumpu pada aspek penguatkuasaan dan hukuman semata-mata, sebaliknya turut menekankan peranannya sebagai badan bahasa utama di negara ini.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan, berkata aspek yang diberi penekanan dalam draf pindaan itu merangkumi bidang pentauliahan, penarafan, pelesenan, penguatkuasaan, perbadanan, dan pengantarabangsaan.

Beliau menegaskan, cadangan pindaan akta yang bersifat holistik itu penting bagi memastikan DBP dapat menjalankan keseluruhan fungsinya bagi memenuhi enam objektik penubuhan DBP.

"Akta DBP versi 1959 hanya berkaitan dengan penaikan taraf DBP sebagai jabatan kerajaan kepada badan berkanun, dan hanya memperuntukkan aspek prasarana dan struktur DBP dengan pernyataan umum tentang empat tujuan penubuhan DBP (menjadi enam tujuan pada 1995).

"Aspek pindaan yang dicadangkan penting untuk pengisian fungsi DBP, walaupun selama ini DBP telah melaksanakan enam objektif itu, merangkumi empat objektif berkaitan dengan peranan bahasa, sastera dan penerbitan, disusuli dua objektif tambahan pada 1995.

"Jika draf cadangan pindaan Akta DBP diluluskan, DBP mempunyai wibawa dan wewenang yang lebih jelas dalam pemenuhan fungsinya sebagai badan berkuasa bahasa yang utama di negara ini.

"Fungsi ini khasnya yang berkaitan dengan wibawa dan wewenang pengeluaran tauliah, penarafan, pelesenan dan pelaksanaan aspek penguatkuasaan serta kegiatan di peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Baru-baru ini, BH melaporkan draf pindaan Akta DBP 1959 antara lain mencadangkan denda tidak kurang RM50,000 atau hukuman penjara kepada individu yang 'tidak menghormati bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan'.

Menerusi pindaan Akta DBP 1959 dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963, status DBP akan ditukar kepada pihak berkuasa bahasa, sekali gus memastikan badan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) itu bertaring untuk mengambil tindakan terhadap kesalahan atau pengabaian bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.

Mengulas lanjut, Awang meminta semua pihak untuk menunggu hasil pelaksanaan proses dan usaha pindaan itu dilaksanakan sebelum ia diserahkan kepada pihak berkuasa.

"Usaha mengangkat cadangan pindaan Akta DBP sudah mengambil tempoh lebih 10 tahun.

"DBP berharap dengan kejelasan hasrat kerajaan kini dalam usaha mengangkat martabat bahasa Melayu, DBP diberi peluang melaksanakan fungsinya dengan lebih berkesan," katanya.

Berita Harian X