Khamis, 23 Jun 2022 | 12:38pm

Rondaan khusus jamin keselamatan Jalan Temiang-Pantai

SEREMBAN: Polis Negeri Sembilan menjadikan laluan Jalan Temiang-Pantai yang mendapat jolokan 'New Zealand Malaysia' sebagai sektor rondaan khusus terutama pada waktu siang bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, pelaksanaan rondaan khas sekurang-kurangnya dua syif sehari kerana laluan sepanjang lapan kilometer yang mendapat jolokan New Zealand itu menarik perhatian orang ramai untuk berhenti dan bergambar serta beriadah.

"Sebagai langkah keselamatan di laluan itu, polis menjadikan jalan berkenaan sebagai satu sektor rondaan khusus terutama pada waktu siang," katanya pada sidang media.

Terdahulu, Ruslan melakukan pemeriksaan kawalan hormat pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid (dua dari kiri) memeriksa kawalan hormat pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan. - NSTP/Azrul Edham
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid (dua dari kiri) memeriksa kawalan hormat pada Perhimpunan Bulanan Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan. - NSTP/Azrul Edham

Beliau berkata, rondaan khusus di laluan berkenaan membabitkan 173 anggota trafik dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai dan Seremban memandangkan laluan itu di bawah kawasan pentadbiran kedua-dua IPD selain turut dibantu anggota dari IPK sendiri.

Setakat ini, Ruslan berkata, pihaknya merekodkan dua kemalangan maut di laluan itu membabitkan penunggang motosikal dan basikal.

"Daripada 8 hingga 20 Jun lalu, kami melaksanakan Op Nasihat. Sebanyak 43 rondaan berkala dilaksanakan dengan serama 210 individu diberikan nasihat keselamatan di lokasi itu.

"Bagaimanapun, masih terdapat orang awam yang degil meskipun sudah diberi nasihat dan kami terpaksa mengeluarkan saman.

"Dalam tempoh Januari lalu hingga 21 Jun lalu, sebanyak 115 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan khususnya membabitkan berhenti di bahu jalan," katanya.

Laluan Jalan Temiang-Pantai. - Foto fail NSTP
Laluan Jalan Temiang-Pantai. - Foto fail NSTP
Berita Harian X