Rabu, 22 Jun 2022 | 7:49pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. -Foto fail
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad. -Foto fail

12 tokoh dilantik ahli JKMMS

KUALA LUMPUR: Seramai 12 tokoh dilantik dalam Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah (JKMMS) yang diwujudkan semula bagi mempertingkat dan memartabatkan sistem perundangan Syariah selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mereka yang dilantik adalah mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), Tan Sri Othman Mustapha; Peguam Cara Negara; Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah; Ketua Pengarah/ Ketua Hakim Syarii Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Setia Dr Mohd Na'im Mokhtar; Ketua Hakim Syarii, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perak, Ab Rahman Thobroni Mohd Mansor; Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Prof Datuk Dr Shamrahayu A. Aziz.

Turut dilantik adalah Profesor Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal; Profesor Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam UM, Prof Datuk Dr Ahmad Hidayat Buang; , Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang; PeguamBela/Peguam Cara/ Peguam Syarie,Datuk Sulaiman Abdullah; Mantan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Datuk Seri Dr Md Yusup Che Teh; dan Ketua Pendaftar JKSM, Nassir Abdul Aziz Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad, berkata pelantikan Othman yang juga bekas Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) sebagai pengerusi JKMMS diyakini berwibawa dan berpengalaman luas dalam pentadbiran hal ehwal Islam dan akan membantu usaha kerajaan untuk memperkukuhkan institusi kehakiman syariah.

"Kerajaan amat yakin dengan gabungan kewibawaan ahli yang dilantik untuk bersama-sama membuat kajian, memberikan syor dan cadangan serta usaha ke arah penambahbaikan dan transformasi Mahkamah-mahkamah Syariah di Malaysia.

"Saya mengucapkan tahniah kepada semua ahli yang dilantik. Selamat menjalankan amanah ini dengan sepenuh hati demi agama,negara dan ummah. Semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan pedoman dalam setiap tindakan yang dilaksanakan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berita Harian X