Rabu, 22 Jun 2022 | 7:28pm

Keluar ikut tingkap bilik air

KUALA LUMPUR: Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang maut akibat terjatuh dari tingkat 10 sebuah kondominium di Jalan Dutamas Raya di sini, petang tadi dipercayai terjatuh dari tingkap bilik air kediamannya.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata siasatan awal polis mendapati kanak-kanak itu dipercayai memanjat tab mandi di bilik air sebelum keluar dari tingkap kecil di situ.

"Ketika kejadian, ibu mangsa berada di ruang tamu dan mereka hanya tinggal berdua semasa kejadian.

"Kemungkinan ibu mangsa tidak menyedari anaknya masuk ke dalam bilik air dan memanjat tab mandi seterusnya memanjat tembok dan keluar dari tingkap bilik air sebelum terjatuh ke tingkat tiga," katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Town Hall berhubung isu penipuan dalam talian oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) 2, Kepong, di sini, hari ini.

Tambah Eng Lai, laporan berkaitan kejadian itu diterima polis pada jam 3.30 petang tadi.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh sepasukan anggota paramedik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Tambah beliau, proses rakam keterangan terhadap ibu kanak-kanak itu yang juga seorang wanita tempatan berusia 32 tahun belum dapat dilakukan kerana keadaannya yang masih belum stabil kerana terlalu sedih.

Katanya, pihak polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai punca sebenar kejadian.

Berita Harian X