Rabu, 22 Jun 2022 | 5:20pm

NSTP sertai Karnival Jom Heboh

KUALA LUMPUR: Selepas tiga tahun berehat, Karnival Jom Heboh (KJH) kembali dengan pelbagai aktiviti serta promosi menarik yang mana konglomerat media The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) juga turut memeriahkan suasana pada hujung minggu ini.

Bertempat di Dataran Floria, Presint 4, Putrajaya, KJH kali ini akan menampilkan selebriti tempatan, personaliti televisyen, penyampai radio dan pempengaruh terkenal yang akan membantu merancakkan karnival itu.

NSTP yang mewakili cabang percetakan Media Prima Berhad akan menampilkan tiga akhbar keluarannya iaitu New Straits Times (NST), Berita Harian (BH) dan Harian Metro (HM).

Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Mustapha Kamil Mohd Janor, berkata, pelbagai hadiah menarik ditawarkan di khemah NSTP untuk keluarga dan anak-anak.

Katanya, pelawat juga boleh membabitkan diri dengan permainan pesta yang menyeronokkan dan mendebarkan termasuklah kehadiran badut, aktiviti melukis muka serta pelbagai permainan yang boleh menghiburkan ahli keluarga dan kanak-kanak.

Bersama rakan kongsi strategik NSTP, mereka juga menyediakan bertih jagung dan gula-gula kapas serta minuman sejuk untuk menghilangkan dahaga.

"Kami menawarkan cenderamata istimewa yang mengandungi tiga edisi cetakan akhbar dan pelbagai barangan yang secara kolektif bernilai lebih daripada RM50.

"Namun dengan hanya RM10, pengunjung boleh bermain sebarang permainan di khemah NSTP, menyertai sebarang aktiviti dan menangi yang menarik hadiah untuk seisi keluarga.

"Matlamat utama kami adalah untuk memukau pengunjung KJH dan mengukuhkan kehadiran jenama NSTP di pasaran. Sebagai sebuah syarikat akhbar yang sudah melalui suka dan duka dalam sejarah negara sejak 1845, NSTP adalah sebahagian daripada Malaysia dan kami mahu menunjukkan perkara itu kepada pengunjung di KJH hujung minggu ini," tambahnya.

Mustapha Kamil juga akan melancarkan khemah khas NSTP pada hari Sabtu ini pada jam 3 petang dan beliau dijangka melepaskan seratus belon ke udara untuk menandakan permulaan keraian NSTP

Antara selebriti tempatan yang akan membuat penampilan adalah penyanyi, Haiza dan Amelina yang akan meluangkan masa untuk bertemu dan bertegur sapa dengan semua pengunjung yang hadir.

Sementara itu, Pengarang Kumpulan BH, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman, berkata tahun ini adalah ulang tahun ke-177 NST serta ulang tahun ke-65 BH dan ulang tahun ke-31 HM.

"Tahun ini juga menandakan penyertaan pertama NSTP dalam KJH di Putrajaya, ibu kota pentadbiran Malaysia dan ia akan menjadi hujung minggu yang istimewa untuk semua kakitangan NSTP, baik dahulu dan sekarang kerana syarikat ini terus mempertahankan kekuatan integriti dalam kewartawanan, sewaktu era baharu digital maklumat," katanya.

Berita Harian X