PUTRAJAYA: Penyair terkemuka tanah air, Datuk Rahman Shaari, 73, hari ini diumumkan sebagai Sasterawan Negara ke-15.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pemilihan anak kelahiran Kampung Gial, Perlis pada 1949 itu dibuat selepas panel sembilan pakar menilai 12 calon sasterawan tempatan yang menyumbang kepada dunia sastera dan akademik.
Katanya, pemilihan tokoh itu berdasarkan kepada sumbangan tokoh melalui karya dan pemikiran, sumbangan terhadap pengembangan sastera, impak dalam penyebaran ilmu, kepemimpinan dalam persatuan sastera, impak pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta penghargaan dan pengiktirafan yang diterimanya.
"Panel sudah mengadakan mesyuarat penilaian untuk meneliti sumbangan serta kekuatan calon.
"Panel memilih Datuk Rahman Shaari sebagai penerima Anugerah Sastera Negara Ke-15 yang membawa gelaran Sasterawan Negara," katanya pada sidang media di Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini.
Dengan penganugerahan itu, Rahman akan menerima Warkah Penghormatan Negara; wang tunai RM60,000 serta penerbitan 50,000 naskhah buku atau nilai harga buku berjumlah maksimum RM500 000 untuk dibeli kerajaan dan diedarkan ke sekolah, perpustakaan, jabatan serta agensi kerajaan.
Selain itu, kemudahan perubatan percuma dalam wad kelas 1 di mana-mana hospital kerajaan; kemudahan dan keselesaan untuk kegiatan mencipta karya sastera; kemudahan untuk menerbitkan karya penterjemahan yang sesuai ke dalam bahasa asing serta elaun sara hidup RM5,000 sebulan.
"Saya bagi pihak Kerajaan Malaysia merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada beliau atas pemilihan sebagai Sasterawan Negara Ke-15. Majlis pengumuman Anugerah Sasterawan Negara ke-15 akan disempurnakan yang di-Pertuan Agong pada tarikh yang akan dimaklumkan," katanya.
Radzi berkata, Rahman yang pernah berkhidmat dengan KPM sebagai guru serta kemudian pegawai kurikulum, juga pernah menjadi profesor di Universiti Malaya (UM) sehingga 2003 dan kini Presiden Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR).
Antara anugerah dan hadiah pernah diterimanya, tempat pertama sayembara menulis esei dan kritikan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1977 serta Hadiah Sastera Malaysia kategori puisi pada 1976, 1982 dan 1986.
Selain itu, Hadiah Sastera Perdana Malaysia pada 2003; Anugerah Penyair GAPENA 2013 dan Hadiah Penulisan Esei Utusan Melayu dalam bidang pantun pada 2014, manakala di peringkat antarabangsa pula, Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award).
"Kekuatan Rahman Shaari adalah dalam genre puisi. Puisi-puisinya sarat dengan pemikiran serta memerlukan pentafsiran yang mendalam. Rahman menekuni semua genre sastera, termasuklah puisi, drama, cerpen, novel dan kritikan sastera.
"Beliau juga mempelopori Teori Anjakan Makna. Dalam mendeklamasikan puisi, Rahman Shaari turut memperkenalkan teknik persembahan puisi artistik," kata Radzi.
Dalam perkembangan berkaitan, menteri berkenaan menegaskan, beliau tidak campur tangan dalam proses pemilihan Sasterawan Negara, sebaliknya beliau menghormati kepakaran semua ahli panel yang memilih tokoh berkenaan.
"Menteri kali ini tidak ada sebarang campur tangan, saya hormati kepakaran semua ahli-ahli panel dalam memilih, melihat serta mengkaji pelbagai bentuk karya yang dikeluarkan oleh calon-calon yang disenarai pendek.
"Tidak timbul sebarang campur tangan, tengok semua panel berada di sini (majlis sidang media), semua gembira dengan keputusan dibuat. Saya secara peribadi setuju dengan keputusan yang dibuat panel," katanya.
Pada 2019, BH melaporkan penangguhan pengumuman Sasterawan Negara Ke-14 pada April tahun berkenaan dikaitkan dengan campur tangan politik apabila dua panel baharu dibawa masuk ke mesyuarat akhir pemilihan Anugerah Sastera Negara.
Laporan yang memetik sumber itu berkata, dua panel baharu itu tidak terbabit dengan proses awal pemilihan Sasterawan Negara.
Penyertaan mengejut dalam mesyuarat akhir itu sekali gus menunjukkan wujudnya kecenderungan memilih calon Sasterawan Negara yang tiada dalam senarai pencalonan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku sekretariat Anugerah Sastera Negara.
Turut dipertikaikan adalah ada nama lain diselitkan pada peringkat akhir yang dikatakan tidak memenuhi kriteria digariskan untuk dipilih sebagai Sasterawan Negara, sebaliknya diberikan atas kepentingan politik.