Rabu, 22 Jun 2022 | 1:14pm

'Takziah buat keluarga Adibah' - Yasin

PETALING JAYA: Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Adibah Noor di atas pemergian penyanyi yang popular dengan lagu 'Terlalu Istimewa'.

Yasin yang kini berada dalam tahanan reman kerana berdepan tuduhan mengedar dadah dan menanam pokok ganja, turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga rakan baiknya, Mujahid Abdul Wahab.

"Salam takziah kepada (ahli keluarga) kawan baik saya, Mujahid Abdul Wahab dan Adibah Noor, Innalillahiwainnailaihirojiun," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu 'Mimpi Laila' itu berkata demikian ketika terserempak media pada sebutan kesnya di mahkamah di sini, hari ini.

Pada Sabtu lalu, Adibah, 52, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles di sini, akibat penyakit kanser ovari tahap empat.

Selain itu, Yasin dikatakan pernah bekerjasama dengan Allahyarham Mujahid untuk satu projek pada tahun lalu.

Pada 31 Mac lalu, penyanyi itu berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret, atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan susulan pendakwaan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu.

Yasin juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, kerana menanam 17 pokok ganja dalam pasu plastik berisi tanah merah di lokasi, waktu dan tarikh sama mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 6(B)(3) akta sama.

Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, ketika tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini, bagi sebutan semula pertuduhan menanam pokok ganja dan mengedar gram dadah yang dihadapinya. - Foto BERNAMA
Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman, ketika tiba di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini, bagi sebutan semula pertuduhan menanam pokok ganja dan mengedar gram dadah yang dihadapinya. - Foto BERNAMA
Berita Harian X