Selasa, 21 Jun 2022 | 6:12pm
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (tengah) menyempurnakan pelancaran Jendela Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Sambutan Ulang Tahun Ke-66 DBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir, hari ini. BERNAMA
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (tengah) menyempurnakan pelancaran Jendela Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Sambutan Ulang Tahun Ke-66 DBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir, hari ini. BERNAMA

Calon tidak hadir SPM bukan isu baharu, KPM cari penyelesaian - Radzi

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengenal pasti punca lebih 10,000 calon tidak hadir menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dan mencari mekanisme holistik untuk menyelesaikan masalah itu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata walaupun calon tidak hadir menduduki peperiksaan SPM bukan isu baharu, kewujudan pandemik COVID-19 yang dikatakan mempengaruhi perubahan sikap pelajar mendorong KPM untuk meneliti isu itu dengan lebih terperinci.

Justeru, katanya, menerusi pendekatan Sekolahku Sejahtera antaranya dapat membantu mewujudkan suasana sekolah yang cukup seronok supaya murid dapat hadir tanpa sebarang unsur paksaan.

Beliau berkata, KPM sedang meneliti apakah kekangan dan cabaran baharu dalam konteks ketidakhadiran calon menduduki peperiksaan SPM ini.

"Sebab itu apa paling penting kita sedar dalam konteks pandemik itu pun satu (punca), namun secara keseluruhannya sebelum ini pun berlaku calon yang tidak hadir dan ada yang memilih untuk terus tidak menduduki peperiksaan.

"Sebab itu dalam kita membawa konteks baharu pentaksiran di sekolah dan konsep Sekolahku Sejahtera, kita nak bina murid daripada peringkat awal lagi dalam sistem persekolahan apabila masuk sekolah rendah ke sekolah menengah supaya mereka memahami sekolah sebahagian daripada kehidupan mereka.

"Bagaimana keadaan pun mereka akan teruskan pengajian sehinggalah sampai ke tahap menduduki peperiksaan SPM. Ini perkara yang kita lihat secara lebih menyeluruh dan tak boleh lihat secara piecemeal (sedikit demi sedikit) dalam konteks menyelesaikan perkara ini kerana ia sudah berlarutan sekian lama," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-66 Dewan Bahasa dan Pustaka dan pelancaran portal Jendela DBP di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan dan Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Mengenai 'post mortem' yang akan dilakukan KPM berhubung isu murid tidak hadir menduduki peperiksaan SPM, Radzi berkata, laporan akan dibuat dari semasa ke semasa kerana calon terbabit berada di merata tempat di seluruh negara.

"Maklumat yang kita perlu dapatkan ini mengambil sedikit masa untuk kita mengkaji secara lebih mendalam apakah antara punca.

"Kita tahu banyak perkara yang menyumbang keputusan calon tidak menduduki peperiksaan. Daripada dahulu lagi lebih kurang trend ini cuma masa ini, kita mahu mendapatkan lebih perincian dan melakukan analisis supaya kita dapat cerakinkan apakah faktor penyumbangnya.

"Kalau kita tak tangani secara menyeluruh dan tak cerakinkan satu persatu, kita tak dapat mencari pendekatan yang sesuai. Itu yang kita sedang usahakan sekarang," katanya.

Selain itu, Radzi berkata, pihak sekolah juga ada menghubungi terus calon untuk memastikan mereka hadir menduduki peperiksaan SPM, termasuk menghubungi waris masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, langkah itu ada kala tidak membuah hasil kerana calon memilih untuk tidak hadir menduduki peperiksaan atas masalah tertentu.

"Biasanya, pihak sekolah pada peringkat awal lagi telah melihat patern ketidakhadiran calon SPM ini dan menghubungi calon itu sendiri.

"Namun begitu, ada keadaan tertentu calon memilih untuk tidak menduduki peperiksaan. Jadi setiap tahun ada jumlah calon yang tidak menduduki peperiksaan dan jika kita lihat jumlahnya pada tahun ini,sekitar 10,000 orang.

"Umumnya, begitulah lebih kurang trend calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM. Ini bukan sesuatu yang baharu dan bukanlah nak kata sebelum ini tidak ada...sebelum ini pun begitu," katanya.

Mengenai murid yang tidak hadir menduduki peperiksaan yang lebih cenderung untuk bekerja, Radzi berkata, perkara itu antara yang sedang diteliti KPM.

Berita Harian X