Selasa, 21 Jun 2022 | 1:41pm

Rogol OKU, pemandu lori kena jel 5 tahun dan sebat

KOTA BHARU: Seorang pemandu lori sampah dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan merogol kekasihnya yang juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran, 2 Jun lalu.

Tertuduh, Shahrul Azwan Mohd Shahiran, 27, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa tertuduh didakwa merogol remaja perempuan berusia 15 tahun tiga bulan ketika kejadian, di sebuah rumah di Bunut Payong, di sini, 2 pagi, pada 2 Jun 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat.

Berdasarkan fakta kes, kejadian itu disedari ibu mangsa berusia 40 tahun pada 7.10 petang, 11 Jun lalu, selepas mendapati anak perempuannya tidak balik selepas keluar rumah sebelum dihantar pulang seorang wanita tidak dikenali.

Remaja itu memaklumkan kepada ibunya dia ditinggalkan di sebuah lorong di Paya Senang, di sini.

Remaja itu kemudian dibawa ke hospital untuk pemeriksaan dan hasil siasatan mendapati dia melakukan hubungan seks dengan tertuduh.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh memohon mahkamah memberi hukuman ringan kepadanya, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan kepada tertuduh.

Seorang pemandu lori sampah, Shahrul Azwan Mohd Shahiran, 27, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun tiga bulan ketika kejadian dan juga orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran di sebuah rumah di Bunut Payong. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

Berita Harian X