Isnin, 20 Jun 2022 | 6:09pm
Puncak menara azan Masjid Serkam Pantai berusia 169 tahun disambar petir ketika hujan lebat pagi tadi - Foto NSTP/Nuraliawati Sabri.
Puncak menara azan Masjid Serkam Pantai berusia 169 tahun disambar petir ketika hujan lebat pagi tadi - Foto NSTP/Nuraliawati Sabri.

Menara azan masjid 169 tahun disambar petir

JASIN: Kira-kira 30 jemaah yang baru selesai solat Subuh di Masjid Serkam Pantai di sini gempar apabila menara azan masjid berkenaan disambar petir dan serpihannya jatuh ke dalam ruang solat.

Timbalan Pengerusi Masjid Serkam Pantai, Zakaria Abu Bakar, berkata kejadian kira-kira jam 6.45 pagi ketika semua jemaah sudah berada di bahagian luar masjid untuk pulang usai solat berjemaah.

"Saya tidak dapat bayangkan kalau serpihan batu yang dianggarkan kira-kira dua kilogram itu jatuh dan terhempap jemaah. Mujurlah semuanya selamat," katanya.

Dalam kejadian itu, puncak menara azan masjid berusia 169 tahun itu rosak selepas disambar petir dan menyebabkan beberapa bumbung turut pecah terkena serpihan batu.

"Ketika solat hujan lebat dan selepas wirid jemaah hendak bergerak pulang sebelum tiba-tiba terdengar bunyi petir yang kuat dan keadaan bertukar gelap.

"Ketika itu tidak sangka ada kerosakan dan apabila saya bersama beberapa lagi jemaah suluhkan lampu baru kelihatan serpihan batu di atas permaidani masjid serta titisan air hujan dari bumbung," katanya.

Menurutnya, dia langsung tidak menyangka menara azan itu terkena panahan petir kerana sebelum ini tidak pernah berlaku walaupun sudah berusia ratusan tahun.

"Serpihan batu itu jatuh di saf belakang, saya bersyukur kerana ketika itu kami semua sudah selesai solat berjemaah.

"Selain puncak menara, lebih 10 keping atap turut rosak selain sebuah kenderaan jemaah rosak pada bahagian cermin akibat terkena serpihan batu," katanya.

Menurutnya, walaupun bekalan elektrik masih terputus solat jemaah masih boleh dijalankan kecuali jika hujan kerana air memasuki ruangan solat.

"Oleh kerana ini adalah masjid warisan, tindakan lanjut dan penyelenggaraan hanya dapat dilakukan dengan pemantauan pihak Jabatan Warisan dan Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

"Namun begitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sudah datang melakukan pemeriksaan," katanya.

Berita Harian X