Isnin, 20 Jun 2022 | 5:38pm
Razman (kiri) meninjau pusat pengumpulan buah-buahan milik Azmi Ismail di Kampung Sempeneh, Batu Kurau, Perak. - Foto NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
Razman (kiri) meninjau pusat pengumpulan buah-buahan milik Azmi Ismail di Kampung Sempeneh, Batu Kurau, Perak. - Foto NSTP/Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Perak dalam proses 'rebranding' durian Batu Kurau

BATU KURAU: Kerajaan negeri kini dalam usaha untuk menjadikan kawasan Batu Kurau dan Selama sebagai hub tanaman durian duri hitam dan klon.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan, Razman Zakaria, berkata pihaknya difahamkan kawasan itu terdapat 200 ekar tanah agensi kerajaan (SADC) yang akan diusahakan sebagai tanaman durian duri hitam dan klon.

"Perkara itu bagaimanapun belum diperincikan. Ketika ini kerajaan giat memperkenalkan durian kampung Batu Kurau ke peringkat yang setaraf Musang King, Udang Merah, Black Torn dan IOI.

"Kita akan bincang perkara ini dengan FAMA dan Jabatan Pertanian untuk 'rebranding' durian Batu Kurau.

"Tidak dinafikan durian kampung dari Batu Kurau ini ada peminatnya tersendiri berikutan harganya yang jauh lebih rendah dan mempunyai rasa yang tersendiri," katanya membuat tinjauan di Pusat Pengumpulan Buah-Buahan di Kampung Sempeneh, Batu Kurau, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata hasil durian dari Batu Kurau menyusut 40 peratus kali ini berikutan faktor cuaca yang tidak menentu dan sering hujan yang menyebabkan proses pendebungaan terganggu.

"Kita menjangkakan musim durian di sini akan berakhir September dan hingga kini belum ada laporan masalah pengeluaran atau pasaran," katanya.

Sementara itu peraih durian, Azmi Ismail, 57, berkata dia tidak dapat mengeksport ke China kali ini kerana buah tidak banyak. Kebiasaannya dia mengeksport sekitar 10 tan metrik durian ke China namun musim ini hanya dapat membekalkan untuk pasaran tempatan sahaja.

Berita Harian X