X
Isnin, 20 Jun 2022 | 2:38pm

Tukang cuci masjid didakwa rogol remaja

KOTA BHARU: Dua lelaki yang bekerja sebagai tukang cuci di masjid didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan merogol seorang remaja di Jalan Merbau di sini, Julai tahun lalu.

Muhammad Khairul Arif Md Rodzi dan Muhammad Mustaqim Nazri, masing-masing berusia 18 tahun yang didakwa secara berasingan, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan ketika pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa merogol seorang remaja perempuan yang ketika itu berusia 13 tahun di sebuah garaj Lot 207-B, Jalan Merbau di sini, antara jam 11 malam hingga 5 pagi pada 28 hingga 29 Julai 2021.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry dan kedua-dua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Alini Ahmad Jamil.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini memohon tiada jaminan ditawarkan memandangkan tertuduh melakukan kesalahan serius, manakala Nor Alini memohon jaminan diberi memandangkan kedua-dua tertuduh membantu keluarga dalam mencari pendapatan.

Mahkamah tidak menawarkan jaminan dan menetapkan 20 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes.

Muhammad Khairul Arif Md Rodzi dan Muhammad Mustaqim Nazri didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, atas tuduhan merogol remaja perempuan, Julai tahun lalu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Muhammad Khairul Arif Md Rodzi dan Muhammad Mustaqim Nazri didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, atas tuduhan merogol remaja perempuan, Julai tahun lalu. - NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X