Isnin, 20 Jun 2022 | 12:45pm
Taburan kes baharu, kes sembuh, dan kes kematian COVID-19 sehingga ME 24/2022.
Taburan kes baharu, kes sembuh, dan kes kematian COVID-19 sehingga ME 24/2022.

Kes tempatan COVID-19 melonjak 28 peratus

SEPANG: Jangkitan kes tempatan baharu COVID-19 mencatat peningkatan 28.1 peratus sepanjang Minggu Epidemiologi ke-24 (ME 24/2022), iaitu antara 12 Jun hingga Sabtu lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan itu membabitkan daripada 11,076 kes ME sebelumnya kepada 14,187 kes.

Bagaimanapun, katanya, bilangan kes import turun 60.0 peratus iaitu daripada 20 kes kepada lapan kes manakala kes kematian turut berkurangan kepada 16.0 peratus iaitu 25 kes kepada 21 kes bagi tempoh sama.

"Purata kes aktif setiap hari bagi ME 24/2022 adalah 24,053 iaitu peningkatan 9.3 peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 di hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat empat peratus sepanjang ME 24/2022, iaitu antara 12 Jun hingga Sabtu lalu.

Dr Noor Hisham berkata, peningkatan pesakit ke hospital awam itu membabitkan pesakit kategori satu dan dua iaitu 17 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

"Kemasukan pesakit kategori tiga hingga lima berkurangan lapan peratus, manakala peratusan pengisian katil fasiliti kesihatan COVID-19 menunjukkan peningkatan berbanding minggu sebelumnya.

"Penggunaan katil bukan kritikal meningkat satu peratus manakala penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat dua peratus.

"Jumlah pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan meningkat 33 peratus manakala penurunan dapat dilihat di Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) iaitu berkurangan satu peratus," katanya.

Beliau menegaskan, pemantauan di pusat penilaian COVID-19 (CAC) turut menunjukkan peningkatan di seluruh negara.

Katanya, bilangan pesakit ke CAC meningkat 22.1 peratus, kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat 37.6 peratus dan bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital meningkat 11.4 peratus.

"Untuk trend kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 24/2022 ia meningkat 26.2 peratus berbanding pada akhir ME 23/2022 (dari 21,591 kes kepada 27,247 kes)," katanya.

Mengenai hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara pada ME 24/2022, Dr Noor Hisham mendapati, kadar positif sampel kes Penyakit Seperti Influenza (ILI) bagi COVID-19 menurun 28.6 peratus iaitu 8.4 peratus pada ME 23/2022 kepada enam peratus pada ME 24/2022.

"Kadar positif sampel jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) minggu ini meningkat 4.4 peratus iaitu 0.0 peratus pada ME 23/2022 kepada 4.4 peratus pada ME 24/2022," katanya.

Berita Harian X