Ahad, 19 Jun 2022 | 4:46pm
Laporan BH Online mengenai cadangan pindaan had umur penunggang motosikal penghantaran barang termasuk khidmat p-hailing.
Laporan BH Online mengenai cadangan pindaan had umur penunggang motosikal penghantaran barang termasuk khidmat p-hailing.

MoT diminta kaji baik buruk pinda had umur penunggang p-hailing

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan (MOT) digesa membuat lebih banyak libat urus dengan pelbagai pihak termasuk mendapatkan pandangan awam sebelum cadangan pindaan had umur penunggang motosikal penghantaran barang termasuk khidmat p-hailing dibentangkan di Parlimen.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua, berkata tidak perlu tergesa-gesa dalam pindaan berkenaan sebaliknya menimbang secara mendalam kesan baik dan buruk keputusan itu.

"Menurunkan had umur ini kemungkinan boleh meningkatkan kadar risiko terdedahnya mereka kepada kemalangan terutama penunggang motosikal. Malah statistik sebelum ini menunjukkan pengguna jalan raya usia 11 hingga 20 tahun bertanggungjawab dalam 35 peratus kes kemalangan dalam negara.

"Lebih lagi, dasar ini juga dibimbangi memberi kesan kepada perkembangan akademik dan meningkatkan kadar keciciran pelajar bagi mereka yang mungkin mahu bekerja sambil belajar. Bila sudah menjana pendapatan, tumpuan untuk belajar berkurang," katanya kepada BH hari ini.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata penurunan had umur penunggang khidmat p-hailing antara cadangan pindaan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang akan dibentangkan MoT di Parlimen.

Katanya lagi, keputusan menurunkan had umur penunggang motosikal membawa barangan, termasuk kenderaan p-hailing daripada 21 kepada 18 tahun dibuat hasil kajian dan penelitian dilakukan bagi membolehkan golongan remaja dalam lingkungan usia itu terbabit sama dalam ekonomi gig negara.

Menurut menteri berkenaan, perkembangan meluas ekonomi gig di negara ini menyebabkan permintaan pekerjaan sektor berkenaan berkembang pantas, sekali gus Bahagian Darat MoT dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menjalankan kajian mengenainya.

"Kementerian sudah buat kajian, tinjauan dan pemerhatian, melihat trend ekonomi gig terutama p-hailing yang menerima permintaan daripada remaja lepasan sekolah, namun berikutan sekatan had usia, mereka tidak dapat merebut peluang pekerjaan sektor itu.

"Kementerian dapati ramai remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berusia 18 tahun berhajat sangat nak jadi penunggang p-hailing, namun disebabkan sekatan umur lesen vokasional hanya boleh dimohon mereka berusia 21 tahun ke atas, golongan 18 hingga 20 tahun rasa dipinggirkan.

"Sesuai dengan peredaran zaman dan perkembangan pantas sektor ekonomi gig termasuk di kampung-kampung, maka kerajaan berasakan sudah sampai masanya had umur p-hailing diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun," kata Ka Siong.

Teik Hua menegaskan, biarpun cadangan itu dilihat mampu membantu remaja dari kalangan keluarga B40 menambah pendapatan, ia juga boleh menjejaskan perancangan jangka panjang kerajaan untuk melahirkan pekerja berkemahiran tinggi.

"Kita bimbang bila sudah mampu jana pendapatan sendiri, golongan belia ini jadi terlalu selesa dan tidak ada semangat untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang lain," katanya.

Berikutan itu, katanya, sebelum pindaan dibentangkan, usaha mengadakan libat urus bersama pelbagai pihak terutama orang awam perlu disegerakan MOT.

"Kita juga mengharapkan kerjasama yang jitu antara syarikat penyedia perkhidmatan dan juga kerajaan untuk menyediakan latihan kemahiran supaya undang-undang jalan raya benar-benar, dipatuhi sekali gus mengurangkan kadar kemalangan membabitkan kumpulan terbabit," katanya.

Berita Harian X