Ahad, 19 Jun 2022 | 2:03pm
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah. - Foto BERNAMA
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah. - Foto BERNAMA

PAS tolak 'khemah besar', tumpu penyatuan ummah

KUALA LUMPUR: PAS menolak idea 'khemah besar' dengan memfokuskan kepada agenda Penyatuan Ummah bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata prinsip parti itu dalam seruan penyatuan ummah adalah jelas.

"PAS berdiri teguh dengan prinsip kerjasama politik yang menguatkan dulu umat Islam, pada masa sama berdiri di satu perikatan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrim dan menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan.

"Kita tidak akan berhenti menyeru seluruh parti Melayu Islam baik UMNO dan BERSATU untuk bersama-sama dalam membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Amar menegaskan, prinsip PAS sebagaimana termaktub dalam Perlembagaannya juga jelas bahawa Islam yang paling utama.

Oleh itu, beliau berkata, bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH) ketika 2018 hingga 2019 lalu, PAS menggerakkan usaha muafakat ummah.

"Usaha itu dilaksanakan dengan parti Melayu seperti UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai ikhtiar menguatkan akar politik Melayu Islam yang semakin goyah.

"Namun, pada masa sama PAS menggerakkan usaha undi percaya kepada Perdana Menteri ketujuh di saat kedudukan beliau diganggu gugat.

"Semua ini tidak lain dan tidak bukan demi Islam dan prinsip kestabilan kerajaan yang dipegang PAS," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, PAS menyedari situasi semasa umat Islam yang semakin dihimpit dengan pelbagai cabaran dari segenap aspek sejak kebelakangan ini.

Katanya, parti itu dengan segenap kemampuan yang ada menggerakkan usaha memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

"Terkini, PAS akan meneruskan agenda ini menerusi seruan penyatuan ummah rentas ideologi dan parti politik.

"Rakyat negara ini pasti tidak lupa dengan sejarah hitam 22 bulan negara di bawah pentadbiran

PH yang menzahirkan realiti golongan yang cuba menggugat status quo negara serta prinsip asas tunjang negara," katanya.

Berita Harian X