Ahad, 19 Jun 2022 | 12:33pm
Kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah seramai 14,306 jemaah. - Foto AFP
Kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah seramai 14,306 jemaah. - Foto AFP

Pakej badal haji murah meragukan

KUALA LUMPUR: Ada agensi haji dan umrah dikesan menawarkan ratusan tempat untuk khidmat mengerjakan badal haji musim dengan pelbagai pakej dan bayaran murah antara RM1,700 hingga RM3,000 seorang.

Tawaran harga itu bagaimanapun disifatkan meragukan serta tidak sepadan dengan beberapa peraturan ketat ditetapkan kerajaan Arab Saudi ketika ini.

Ini berikutan untuk mengupah penduduk bermastautin di Arab Saudi melakukan ibadah itu, mereka perlu mempunyai permit untuk memasuki Arafah dengan bayaran SR12,000 (RM14,000) seorang berbanding sebelum ini SR2,500 (RM2,900) saja.

Selain itu, terdapat gelang khas yang perlu dipakai jemaah haji untuk melepasi pintu di Arafah bagi mengelakkan lambakan jemaah haji keterlaluan.

Badal haji bermaksud ibadah haji yang diupahkan kepada seseorang untuk dilaksanakan sebagai ganti kerana adanya halangan tertentu seperti sakit, usia tua (uzur) atau kematian ke atas orang yang seharusnya mengerjakan haji. Orang yang melaksanakan haji badal pula disyaratkan sudah melaksanakan haji untuk dirinya terlebih dahulu.

Wartawan BH menghubungi beberapa agensi yang menawarkan khidmat itu di sekitar ibu negara dan mendapati, mereka menawarkan pelbagai pakej serta potongan harga untuk menarik orang ramai.

Pakej itu termasuk upah haji, upah umrah, korban di Makkah, air Zam Zam percuma, wakaf al-Quran selain diberikan sijil.

Ada agensi yang menawarkan potong harga di antara RM500 hingga RM700 sekiranya segera mendaftar untuk 100 tempat terawal.

Sebuah agensi lain mendakwa, untuk tahun ini pihaknya menawarkan lebih 250 tempat untuk badal haji dengan sebahagian besar sudah diisi, manakala satu lagi syarikat mendakwa masih mempunyai 50 kekosongan sebelum tarikh tutup hujung bulan ini.

Rata-rata agensi terbabit mendakwa, mereka mempunyai kemampuan untuk menguruskan badal haji tahun ini dengan menggunakan perkhidmatan penduduk Indonesia yang bermastautin dan bekerja di Arab Saudi selepas membuat pemilihan berdasarkan kredibiliti ditetapkan.

Jurucakap sebuah syarikat berkenaan berkata, pemilihan dilakukan syarikat terbabit berdasarkan kriteria tertentu, termasuk mengetahui hukum dan asas badal haji memandangkan ia adalah amanah dan kepercayaan.

"Kami ada wakil di sana yang menguruskan pemilihan untuk melakukan badal haji dan umrah. Kita tidak boleh mendapatkan perkhidmatan jemaah dari sini kerana kebanyakan jemaah baru kali pertama menunaikan haji.

"Kami mempunyai pengalaman 10 tahun dan semestinya sudah mempunyai 'rangkaian' dengan orang di sana, malah 'bos' kami sendiri akan memantau setiap pelaksana yang melakukan badal haji itu," dakwanya.

Menjelaskan lebih lanjut, jurucakap itu mendakwa, harga dikenakan agensi itu agak murah berbanding agensi lain berikutan pihaknya hanya menawarkan cenderahati seperti al-Quran bercetak dan air Zam Zam saja.

"Jika agensi lain, harga dikenakan tinggi mungkin disebabkan ada melakukan badal umrah, korban seekor kambing dan bermacam lagi. Terpulang kepada individu sama ada inginkan harga yang mahal atau murah.

"Selain itu, memahami kebimbangan pelanggan mengenai kepercayaan terhadap ibadah berkenaan, kami sebolehnya akan meminta pelaksana memberi bukti bergambar secara berkumpulan.

"Namun akibat kekangan masa dan keadaan orang yang terlalu ramai, mungkin bukti video tidak dapat dilakukan," katanya.

Sejak 2017, kerajaan Arab Saudi sudah mengehadkan penduduk tempatan untuk melakukan ibadah badal haji. - Foto AFP
Sejak 2017, kerajaan Arab Saudi sudah mengehadkan penduduk tempatan untuk melakukan ibadah badal haji. - Foto AFP

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Travel & Services Sdn Bhd (THTS), Datuk Ahmad Ruzman Ahmad Razali, berkata berikutan kos melakukan badal haji yang tinggi serta syarat ketat dikenakan kerajaan Arab Saudi, ia dengan sendirinya membataskan had untuk seseorang mendapatkan perkhidmatan badal haji.

"Juga adalah mustahil untuk bakal jemaah yang akan menunaikan haji pada tahun ini melakukan badal haji kerana saya percaya hanya lima peratus saja jemaah yang pernah menunaikan haji sebelum ini, manakala selebihnya baru pertama kali.

"Mereka yang mengupah badal haji perlu tahu, syarat utama pelaksana yang melakukan badal haji itu mestilah pernah menunaikan haji sebelum ini, jadi mana mungkin ia dapat dilakukan jemaah dari Malaysia," katanya.

Ahmad Ruzman juga berkata, sekiranya bayaran ibadah badal haji dikenakan pada harga RM3,000 sekali pun, untuk mendapatkan jemaah dari negara ini amatlah sukar disebabkan kekangan syarat utama itu dan bayaran permit penduduk bermastautin di Arab Saudi sangat tinggi.

"Malah sejak 2017, kerajaan Arab Saudi sudah mengehadkan penduduk tempatan untuk melakukan ibadah berkenaan.

"Disebabkan itu juga, THTS sudah lama tidak menawarkan perkhidmatan itu kerana kesukaran mendapatkan pelaksana ditambah dengan kuota haji yang sudah ditetapkan kerajaan Arab Saudi ketika ini.

"Kita pun tidak mahu mencari pelaksana secara sembarangan saja, THTS akan menemuramah mereka, memastikan setiap kriteria dipenuhi dan badal haji dilakukan berkualiti," katanya.

April lalu, Arab Saudi menetapkan kuota haji adalah seramai satu juta jemaah saja bagi musim 2022 yang mana 85 peratus daripadanya untuk jemaah luar.

Berikutan itu, kuota haji Malaysia tahun 2022 adalah seramai 14,306 jemaah iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima.

Justeru, Ahmad Ruzman menasihatkan orang ramai lebih berwaspada agar tidak terpedaya dengan sebarang tawaran badal haji yang murah kerana ia boleh menjurus kepada aktiviti penipuan.

"Sebolehnya pihak berkuasa juga dapat bercakap mengenai perkara ini supaya orang ramai dapat maklumat tepat dan tidak sewenang-wenangnya tertipu dengan tawaran itu," katanya.

Pengarah Urusan CS Holidays Sdn Bhd, Naim Syauqi Azhari, pula berkata sebaik-baiknya perkhidmatan badal haji tahun ini ditangguhkan kerana kekangan syarat utama dan bayaran permit yang terlalu mahal berbanding bayaran dikenakan agensi di Malaysia.

"Saya yakin 99 peratus bakal jemaah haji dari negara ini membabitkan mereka yang kali pertama melakukan ibadah ini, jadi mana mungkin mereka dapat menolong melakukan badal haji itu.

"Difahamkan juga, hanya jemaah yang mempunyai gelang khas saja akan dibenarkan melepasi pagar yang dikawal di pintu masuk padang Arafah.

"Lebih-lebih lagi dijangka Hari Wukuf jatuh pada Jumaat tahun ini dan ia dipanggil sebagai Haji Akbar yang mana semua orang Arab akan berpusu-pusu masuk ke Arafah.

"Justeru, saya hairan bagaimana tawaran badal haji boleh diberikan agensi pelancongan sedangkan syaratnya sangat ketat, selain situasi yang dijangka akan berlaku di sana," katanya.

Selain itu, Naim Syauqi berkata, isu harga dikenakan juga amat subjektif, namun ia berlaku sebelum pandemik dan beberapa perkara juga perlu diambil kira.

"Jika sebelum pandemik, perkhidmatan dilakukan oleh penduduk tempatan di sana mungkin memadai dengan bayaran dikenakan, tetapi untuk kali ini dengan pelbagai faktor, agak mustahil badal haji dapat dilaksanakan," katanya.

'Tangguh dulu badal haji'

Mana-mana agensi pelancongan umrah dan haji disaran tidak menawarkan perkhidmatan badal haji pada tahun ini memandangkan syarat ketat dikenakan Kerajaan Arab Saudi bagi jemaah.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata jika sebelum pandemik COVID-19 kuota ditawarkan mencecah 40,000 jemaah, tetapi tahun ini dihadkan hanya 14,000 sahaja.

"Malah, seperti dilaporkan juga, syarat kemasukan ke Arafah sangat ketat, jadi mana mungkin orang lain mudah untuk masuk ke Arafah sekiranya tidak melepasi syarat ditetapkan.

"Di Arafah penting kerana di situlah Hari Wukuf berlaku. Jika tak dapat masuk, anda tidak boleh mendapat haji.

"Jadi, memang Kerajaan Arab Saudi sudah tetapkan hanya sejuta sahaja jemaah haji yang dibenarkan pada tahun ini," katanya ketika dihubungi, semalam.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham.

Razali berkata, Kerajaan Arab Saudi mewajibkan permit badal haji dengan sejumlah bayaran tertentu kepada jemaah yang memasuki Arafah dan Mina, tidak kira jemaah luar atau bermastautin.

"Jadi, sekiranya tiada permit oleh pembadal haji, mana mungkin mereka boleh melepasi pagar di Arafah yang dikawal ketat.

"Pada pendapat saya, buat masa ini tangguhkan dulu badal haji ini sehingga keadaan reda, kecuali sekiranya seseorang itu melakukan akad dengan jemaah yang mencukupi syarat sah yang ingin pergi bukannya menerusi ejen. Jangan buang masa dan buang duit anda," katanya.

Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, berkata jumlah kuota yang ditetapkan Kerajaan Arab Saudi untuk jemaah haji dari Malaysia boleh dianggap sebagai satu faktor penghalang untuk seseorang melaksanakan badal haji di Tanah Suci.

Justeru, katanya, pelaksanaan badal haji harus ditangguhkan buat sementara sehingga mendapat keizinan untuk menambah kuota jemaah haji pada tahun seterusnya.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

"Tentunya jumlah kuota yang dikenakan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk jemaah haji bagi setiap negara sudah pun mencukupi kerana ada kaitan dengan pandemik COVID-19 yang melanda dunia dua tahun kebelakangan ini.

"Walaupun keadaan semakin reda, namun ancamannya masih wujud, maka umat Islam perlu akur kepada dasar ditetapkan Arab Saudi berkaitan dengan jumlah kuota haji setiap negara.

"Langkah ini diambil untuk menjamin keselamatan dan kemaslahatan jemaah haji sendiri," katanya.

Jelasnya lagi, agensi swasta yang menawarkan perkhidmatan badal haji tahun ini perlu menasihatkan pelanggan supaya menangguhkan dulu hasrat masing-masing sehingga ke tahun hadapan.

"Badal haji boleh dikerjakan oleh sesiapa sahaja yang mempunyai peluang dan berkemampuan untuk mengerjakannya.

"Ia boleh dikerjakan pada bila-bila masa yang difikirkan sesuai, tidak perlu ditunaikan secara tergesa-gesa sekiranya keadaan tidak mengizinkan," katanya.

Berita Harian X