JOHOR BAHRU: Perkhidmatan tren Shuttle Tebrau dari Stesen Johor Bahru Sentral ke Woodlands, Singapura mula beroperasi hari ini, selepas dua tahun dihentikan akibat pandemik COVID-19.
Pengoperasian perkhidmatan itu memberi kelegaan kepada rakyat negara ini yang berulang-alik mencari rezeki di seberang tambak.
Kini, sebahagian pekerja negara ini di Singapura yang sebelum ini terpaksa menggunakan khidmat bas kini tidak perlu lagi bersesak di Tambak Johor, sebaliknya boleh memilih perkhidmatan tren yang lebih selesa dan pantas.
P Yogheeta, 39, yang bekerja sebagai pengurus bangunan di Singapura gembira apabila tren berkenaan memulakan operasi selepas digantung sementara sejak lebih dua tahun lalu berikutan pandemik COVID-19 dan penutupan sempadan antarabangsa.
Dia yang sudah lima tahun bekerja di Singapura berkata, tren itu akan memudahkan perjalanannya setiap hari ke tempat kerja tanpa perlu berdepan kesesakan di Tambak Johor.
"Apabila Tren Shuttle Tebrau memulakan semula operasi hari ini, saya lega dan gembira kerana sebelum digantung saya memang menggunakan perkhidmatan ini setiap hari untuk ke Woodlands bekerja.
"Perkhidmatan tren disediakan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) ini lebih mesra pengguna dan sistematik, berbanding bas kerana perlu beratur lebih lama, di samping menempuh kesesakan di Tambak Johor yang membuatkan ramai tertekan," katanya ketika ditemui.
Terdapat sebanyak 31 perjalanan disediakan antara kedua-dua laluan bermula jam 5 pagi berakhir 11.45 malam dengan 13 perjalanan dari Johor Bahru-Singapura dan 18 perjalanan dari Singapura-Johor Bahru.
Perkhidmatan Tren Shuttle Tebrau mengekalkan tambang sedia ada iaitu RM5 sehala bagi perjalanan JB Sentral ke Woodlands dan SGD5 dari Woodlands ke JB Sentral.
Bagi Taranjet Sing, 33, perkhidmatan tren itu akan memudahkan lagi urusan rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura setiap hari.
"Tren Shuttle Tebrau yang memulakan operasinya memang dinantikan mereka yang berulang-alik bekerja di Singapura.
"Selepas sempadan negara dibuka 1 April lalu, berlaku kesesakan di Tambak Johor setiap hari memandangkan jumlah kenderaan terutama lori semakin bertambah untuk memasuki Singapura," katanya yang bekerja sebagai doktor.
Juruteknik, Zainal Zasuri, 37, pula berkata dia memilih tren berkenaan kerana perjalanan ke Stesen Woodlans dari JB Sentral hanya mengambil masa sekitar lima minit.
"Memang cepat dan mudah, sebab itu saya pilih menaiki tren ini bersama isteri, Noraini Ahmad, 36, serta anak perempuan berusia lima tahun pulang ke Singapura hari ini.
"Saya, isteri dan anak memang kerap datang ke Johor kerana berasal dari negeri ini, manakala isteri pula orang Singapura," katanya.