Sabtu, 18 Jun 2022 | 6:37pm
Ismail (tengah) melawat pameran pada Karnival Institusi Pendidikan Mara (KIPMA) Peringkat Negeri Sembilan dan Melaka di Mydin Mall, Seremban 2. - NSTP/AZRUL EDHAM
Ismail (tengah) melawat pameran pada Karnival Institusi Pendidikan Mara (KIPMA) Peringkat Negeri Sembilan dan Melaka di Mydin Mall, Seremban 2. - NSTP/AZRUL EDHAM

86 peratus graduan KPTM dapat kerja, sambung pengajian

SEREMBAN: Kira-kira 86 peratus graduan Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) berjaya memenuhi pasaran kerja atau menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi, sekali gus membuktikan produk institusi pengajian tinggi (IPT) di bawah MARA itu mampu bersaing dengan IPT lain.

Pengerusi KPTM, Datuk Ismail Lasim, berkata KPTM menawarkan pelbagai kursus kemahiran yang menyeluruh dalam bidang teknikal serta profesional, sesuai dengan keperluan industri dan kebolehpasaran masa kini serta akan datang.

"KPTM amat kompetetif sekali apabila lebih 45 jenis kursus ditawarkan kepada pelajar di 11 cawangan seluruh negara, ini membezakan kita dengan IPT lain. Kita tidak hadkan dan kursus yang ditawarkan ini amat bertepatan dengan keperluan industri serta kebolehpasaran kerana ia lebih penting bagi KPTM.

"Justeru, tidak hairanlah kira-kira 86 peratus graduan kita berjaya memenuhi pasaran kerja selain ada yang menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi," katanya selepas merasmikan Karnival Institut Pendidikan MARA (KIPMA) Peringkat Zon Selatan 2022 di Mydin Mall Seremban 2, di sini hari ini.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh, berkata menjadi hasrat KPTM mengeluarkan graduan berkualiti dan mampu bersaing dengan graduan daripada kolej serta universiti lain.

Beliau berkata, KPTM dijangka mengambil pelajar baharu seramai hampir 8,000 pada sesi pengambilan Julai depan.

"Saya mengalu-alukan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 agar memilih kursus yang ditawarkan di mana-mana institusi pengajian tinggi di bawah MARA. Ini kerana kursus ditawarkan mendapat pengiktirafan sekali gus dapat membantu mereka membina kerjaya masa depan yang baik," katanya.

Ismail turut mengajak pelajar memanfaatkan karnival berkenaan untuk mendapatkan maklumat mengenai bidang pengajian diminati.

KIPMA 2022 diadakan mengikut zon berlangsung di 10 lokasi seluruh negara bermula hari ini hingga 17 Julai. Ia bertujuan mempromosi ekosistem pendidikan MARA bagi pengajian peringkat sijil, diploma, ijazah dan lebih tinggi selain membantu pelajar mendapatkan maklumat berkaitan.

Berita Harian X