Jumaat, 17 Jun 2022 | 9:41pm
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein

Malaysia, Arab Saudi pertingkat hubungan pertahanan

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Arab Saudi bersetuju untuk meningkatkan hubungan pertahanan melalui pembentukan Jawatankuasa Peringkat Tinggi di bawah tiga tonggak utama.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tiga tonggak itu adalah kerjasama ketenteraan, kolaborasi industri pertahanan dan kerjasama kebajikan veteran tentera.

"Melalui perbincangan yang membuahkan hasil dengan rakan sejawat saya, Putera Mahkota Mohammed bin Salman, kami bersetuju untuk meningkatkan hubungan pertahanan kami ke tahap yang lebih tinggi.

"Selain itu, kami akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu kepakaran ketenteraan, perubatan ketenteraan dan perisikan ketenteraan kerana kami berhasrat untuk meningkatkan kerjasama ketenteraan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Hishammuddin berkata, perbincangan itu diadakan sempena lawatan rasminya ke Arab Saudi pada 13 Jun yang berakhir hari ini, atas jemputan Putera Mahkota Arab Saudi.

Katanya, mereka juga berbincang mengenai pembangunan berkaitan industri pertahanan kedua-dua negara.

"Satu kumpulan kerja akan diwujudkan antara Pihak Berkuasa Am Industri Ketenteraan Arab Saudi (GAMI), Bahagian Industri Pertahanan Kementerian Pertahanan dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengenai perkongsian pengetahuan dan potensi perkongsian industri pertahanan.

"Industri Ketenteraan Arab Saudi (SAMI) juga akan menjalin kerjasama dengan LTAT untuk meneroka potensi kerjasama antara kedua-dua pihak," katanya.

Mengenai pencegahan keganasan, beliau berkata, mereka bersetuju untuk meningkatkan kerjasama dalam memerangi dan membendung ancaman keganasan dan ekstremisme.

Selain itu, katanya, beliau juga akan mengambil peluang untuk berbincang dengan Putera Mahkota mengenai perkara berkaitan minyak dan gas, keselamatan makanan serta kerjasama ekonomi dan kewangan.

Selain Putera Mahkota, Hishammuddin berkata, beliau juga mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pertahanan Putera Khalid bin Salman untuk mengkaji perkongsian Malaysia-Arab Saudi dan aspek kerjasama dalam bidang pertahanan dan ketenteraan.

Sementara itu, pertemuan dengan Menteri Kabinet Arab Saudi Putera Turki bin Mohammad bin Fahd bin Abdulaziz Al Saud, menekankan hubungan dua hala yang kukuh dan aspek kerjasama kedua-dua negara dalam pelbagai bidang, katanya.

Hishammuddin berkata, beliau akan melaporkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan anggota Kabinet untuk membuat persiapan lawatan perdana menteri ke Arab Saudi.

"Semua hasil mengenai perkara yang memerlukan kerjasama antara kementerian dan/atau antara agensi akan disampaikan dalam mesyuarat Kabinet akan datang," katanya.– BERNAMA

Berita Harian X