Khamis, 16 Jun 2022 | 11:48pm
Kejadian pokok tumbang dan menghempap kereta orang awam berhampiran sebuah masjid di Taman Melawati, Ampang - Foto NSTP/Bomba
Kejadian pokok tumbang dan menghempap kereta orang awam berhampiran sebuah masjid di Taman Melawati, Ampang - Foto NSTP/Bomba

Pokok tumbang hempap tujuh kenderaan

KUALA LUMPUR: Beberapa kejadian pokok tumbang dilaporkan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang berikutan hujan lebat serta angin kuat malam ini yang menyebabkan tujuh kenderaan orang awam rosak.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima empat laporan kejadian pokok tumbang di sekitar Gombak dan Ampang dengan dua insiden mengakibatkan kerosakan pada enam kenderaan.

"Pada jam 8.56 malam, kita terima laporan kejadian tiga batang pokok tumbang berhampiran sebuah masjid di Taman Melawati, Ampang dan menghempap lima kenderaan yang diletakkan di tepi jalan.

"Sepasukan tujuh pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang bersama satu jentera FRT digerakkan ke lokasi untuk memotong dan mengalihkan sisa pokok tumbang ke tempat selamat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian pokok tumbang turut dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang menghempap sebuah kenderaan jenis PROTON Exora.

Sebatang pokok tumbang dan menghempap kenderaan dipandu seorang lelaki di Persiaran Pertahanan, Taman Melawati - Foto NSTP/Bomba
Sebatang pokok tumbang dan menghempap kenderaan dipandu seorang lelaki di Persiaran Pertahanan, Taman Melawati - Foto NSTP/Bomba

"Sepasukan tujuh pegawai dan anggota dari BBP Selayang bersama satu jentera FRT digerakkan ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian pada 9.40 malam.

"Kedua-dua kejadian pokok tumbang tidak membabitkan mangsa atau kerosakan struktur bangunan, hanya enam kenderaan mengalami kerosakan," katanya.

Norazam berkata dua lagi kejadian pokok tumbang dilaporkan di Jalan KL-Ipoh menghala ke Rawang dan Jalan Kolam Air, Empangan Klang Gate, Taman Melawati namun tidak membabitkan sebarang kerosakan harta-benda.

Sementara itu di ibu kota, seorang lelaki terselamat apabila sebatang pokok tumbang dan menghempap kenderaan dipandunya di Persiaran Pertahanan, Taman Melawati di sini.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan, berkata pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 8.47 malam dan sepasukan lapan anggota bersama satu jentera FRT dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wangsa Maju digerakkan ke lokasi.

"Pasukan bomba tiba di lokasi pada 8.53 malam dan mendapati sebatang pokok tumbang di tengah jalan dan menghempap sebuah kereta jenis Toyota Vios.

"Kereta dipandu seorang lelaki dewasa dan berjaya keluar sendiri dari keretanya tanpa kecederaan," katanya.

Berita Harian X