Khamis, 16 Jun 2022 | 11:01pm
Datuk Rais Yasin
Datuk Rais Yasin

Pelajar cemerlang SPM Melaka meningkat

MELAKA: Seramai 257 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dari sekolah di bawah Kementerian Pendidikan di negeri ini memperoleh semua A dalam semua mata pelajaran yang diduduki mereka.

EXCO Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, keputusan itu sekali gus menunjukkan peningkatan sebanyak 2.30 peratus berbanding SPM 2020 apabila hanya seramai 215 pelajar atau 1.88 peratus yang memperoleh semua A.

Beliau berkata, dalam SPM 2021, Melaka merekodkan seramai 13,134 calon SPM termasuk pelajar dari sekolah swasta, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Sekolah Menengah Tahfiz Al-Quran serta calon persendirian.

"Daripada 11,165 pelajar Sekolah Kementerian Pendidikan yang menduduki peperiksaan seramai 10,197 atau 91.3 peratus berjaya mendapat siijl SPM berbanding 10,330 pada SPM lalu.

"Untuk itu, semua sekolah di Melaka mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) lebih baik dan pencapaian ini membantu peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) lebih baik dengan 0.03 mata (4.83) berbanding Gred Purata Nasional yang merekodkan 4.86," katanya pada sidang media selepas Pengumuman Keputusan SPM 2021 Sekolah Melaka, di Jabatan Pendidikan negeri, Bukit Baru, di sini hari ini.

Beliau berkata, tujuh mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, Sejarah, Matematik dan Sains turut mencatatkan peratus lulus melebihi 77 peratus.

"Selain itu dua calon kita turut meraih kesemua A+ dalam mata pelajaran yang diduduki dan sebanyak 17 buah sekolah pula merekodkan mencapai 100% layak mendapat sijil.

"SPM Melaka menunjukkan pencapaian yang membanggakan dan ini adalah hasil usaha serta komitmen yang tinggi semua pihak dalam memastikan kejayaan anak didik mereka," katanya.

Berita Harian X