Khamis, 16 Jun 2022 | 9:40pm

Perkasa pembabitan wanita dalam keusahawanan teknikal

MELAKA: Masih banyak ruang dan peluang boleh diterokai bagi memperkasa pembabitan wanita dalam keusahawanan dan teknikal di negara ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, berkata ia berdasarkan Laporan Jurang Gender Global 2021 oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke 104, daripada 156 negara dari segi penyertaan wanita dalam sektor ekonomi.

Katanya, angka itu menunjukkan penurunan berbanding pada 2020 yang mana Malaysia berada di posisi ke-97.

"Secara tidak langsung ia menjelaskan masih banyak ruang dan peluang boleh diterokai dalam upaya meningkatkan pembabitan wanita dalam keusahawanan," katanya berucap pada Majlis Penutupan Rasmi Konvensyen Keusahawanan Teknikal Wanita (WTC2022) di Dewan Canselor Universiti Teknikal Melaka (UTeM) di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Nordin dan Naib Canselor UTeM, Profesor Teknologis, Dr Massila Kamalrudin.

Konvensyen bertemakan 'Usahawan Teknikal Wanita: Penjana Kemakmuran' selama dua hari bermula semalam itu dihadiri hampir 1,000 usahawan wanita dalam pelbagai bidang.

Noraini berkata, walaupun penyertaan wanita dalam bidang profesional dan teknikal di Malaysia pada tahun lalu hanya 41.5 peratus berbanding 58.5 peratus golongan lelaki, ia tetap signifikan dari segi jumlah milikan perniagaan dan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Jumlah perniagaan milikan wanita di negara ini merangkumi 20.6 peratus atau 186,855 daripada keseluruhan jumlah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara.

"Secara relevan ia menyumbang RM69.1 bilion kepada KDNK selain turut membuka hampir 800,000 peluang pekerjaan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kadar kebolehpasaran graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dari institusi pengajian tinggi meningkat kepada 94.17 peratus berbanding 92.27 peratus pada 2020.

"Ini memberi petunjuk positif bukan sahaja kepada kerajaan, tetapi pihak berkepentingan yang lain dalam merancang dan menentukan hala tuju strategik pembangunan graduan, khususnya graduan TVET," katanya.

Noraini merasmikan Majlis Penutupan Rasmi Konvensyen Keusahawanan Teknikal Wanita (WTC 2022) di Dewan Canselor Universiti Teknikal Melaka (UTeM) di sini, hari ini. NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad.
Noraini merasmikan Majlis Penutupan Rasmi Konvensyen Keusahawanan Teknikal Wanita (WTC 2022) di Dewan Canselor Universiti Teknikal Melaka (UTeM) di sini, hari ini. NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad.
Berita Harian X