Khamis, 16 Jun 2022 | 8:43pm

KWP bekerjasama dengan kementerian lain tangani kesesakan KL

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) giat bekerjasama dengan kementerian lain dalam usaha menyelesaikan masalah kesesakan trafik termasuk meneliti semula kebenaran berniaga di bahu jalan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, berkata perancangan semula itu bagi memastikan aktiviti perniagaan Wilayahku Bebas Berniaga (WBB) tidak mengganggu aliran trafik.

"Ia akan dipengerusikan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias bagi menyelesaikan isu kesesakan jalan raya.

"Kita juga meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengkaji semula WBB berikutan, kebanyakannya berniaga di bahu jalan supaya tidak mengganggu kelancaran trafik.

"Selain itu, kita merancang mengadakan kempen yang bakal disasarkan kepada orang ramai supaya lebih menggunakan pengangkutan awam.

"Ia bertetapan dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berhubung pemberian tambang percuma selama sebulan bagi semua pengangkutan RapidKL," katanya.

Terdahulu, beliau bersama beberapa Ahli Parlimen meninjau perkembangan kerja interim yang dijalankan DBKL dalam menangani banjir kilat di empat lokasi titik panas banjir kilat.

Ia membabitkan Jalan Ampang berdekatan Hutan Simpan Bukit Nanas, Jalan Rahmat, Sungai Kasipillay dan Jalan Dutamas 2.

Lawatan itu turut disertai Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah serta Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan beberapa yang lain.

Mengenai perkembangan banjir, Shahidan berkata, melalui usaha itu ia berjaya melancarkan aliran dua banjir kilat yang berlaku baru-baru ini, selain menyaksikan aliran trafik kenderaan berjalan lancar walaupun hujan berterusan.

"Ia adalah penyelesaian jangka pendek iaitu DBKL bertindak meletakkan beg pasir, menempatkan pasukan bit hotspot banjir DBKL dan menggunakan penyedut air daripada lori tangki di 24 kawasan hotspot banjir.

"Bagi usaha jangka panjang, DBKL akan mengusahakan kolam takungan banjir di bawah tanah dan ini akan dirujuk kepada Kabinet.

"Selain itu, Perdana Menteri juga dimaklumkan perkembangan banjir kilat ketika ini," katanya.

Beliau berkata, kolam takungan air berteknologi tinggi itu dijangka siap dalam tempoh tiga atau empat tahun akan datang.

"Kolam takungan banjir bawah tanah itu sudah dilakukan di Shanghai, Korea, Jepun dan Bangkok.

"Berkenaan kos kita belum dapat memastikannya lagi dan lokasi juga tidak perlu saya sebutkan kerana ia hanya menimbulkan spekulasi tetapi akan dibuat di bawah yang tiada bangunan," katanya.

Mengulas mengenai isu tiang lampu, Shahidan berkata ia adalah tiang lampu dwifungsi, satu lampu jalan dan antena yang dibiayai bersama syarikat telekomunikasi dan DBKL memperoleh sewaan RM850 setiap tiang, sebulan.

"Lebih 1,000 tiang dibina oleh 29 syarikat yang dilantik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan DBKL hanya memberikan kebenaran penggunaan tempat," katanya.

Shahidan bersama Teresa dan Ahmad Fahmi meninjau kawasan 'hotspot' banjir kilat untuk melihat perkembangan kerja-kerja interim dalam menangani masalah berkenaan di Bukit Nenas. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Shahidan bersama Teresa dan Ahmad Fahmi meninjau kawasan 'hotspot' banjir kilat untuk melihat perkembangan kerja-kerja interim dalam menangani masalah berkenaan di Bukit Nenas. - Foto NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Berita Harian X