Khamis, 16 Jun 2022 | 2:40pm
Antara pelajar cemerlang SPM 2021 di Sarawak dari kiri; Ian Jong Kai Yi (kiri) memperolehi keputusan 10A+, Tan Chi Sin juga mendapat keputusan 10A+ manakala Hong Yong Kai (kanan) memperolehi 11A+. Foto NSTP/Nadim Bokhari
Antara pelajar cemerlang SPM 2021 di Sarawak dari kiri; Ian Jong Kai Yi (kiri) memperolehi keputusan 10A+, Tan Chi Sin juga mendapat keputusan 10A+ manakala Hong Yong Kai (kanan) memperolehi 11A+. Foto NSTP/Nadim Bokhari

Keputusan SPM 2021 Sarawak memberangsangkan

KUCHING : Seramai 12 pelajar daripada sembilan sekolah di Sarawak mencatat keputusan cemerlang dengan memperolehi A+ dalam semua mata pelajaran pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021.

Pengarah Pendidikan Sarawak, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, daripada jumlah itu, seorang pelajar memperolehi 11A+, enam orang 10A+ manakala lima pelajar lagi berjaya meraih 9A+.

Menurutnya, secara keseluruhan pencapaian calon SPM di Sarawak adalah amat memberangsangkan dengan nilai Gred Purata Negeri (GPN) 5.17 dan seramai 596 pelajar memperolehi sekurang-kurangnya A- dalam semua mata pelajaran.

"Seramai 29,166 atau 88.29 peratus calon layak mendapat sijil manakala 17 sekolah calonnya mencapai 100 peratus layak mendapat sijil dalam SPM 2021.

"Secara keseluruhannya, kebanyakan sekolah di Sarawak boleh dirumuskan dalam kategori sekolah cemerlang, baik dan memuaskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2021 di Auditorium Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Azhar berkata, berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS), antara sekolah terbaik ialah Sekolah Menengah (SM) Sains Kuching Utara, SM Sains Kuching, SM Sains Miri, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Elizabeth, Kolej Datuk Patinggi Abang Haji Abdillah, Sekolah Seni Malaysia Sarawak, SMK Sacred Heart dan SMK Agama Miri.

"Turut tersenarai antara sekolah terbaik adalah Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, SMK St Anthony, SMK Agama Tun Ahmad Zaidi, SMK Kubong, SMK Tiong Hin, SMK Agama Sheikh Haji Othman Abdul Wahab, SMK Tung Hua, SMK Methodist, SMK Tinggi Sarikei dan SMK Sungai Tapang.

"Kesemua 17 sekolah itu mencapai 100 peratus calon layak sijil dalam SPM 2021," katanya.

Sementara itu katanya, semakan keputusan boleh dibuat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) ke nombor 15888 bermula jam 10 pagi, 16 Jun hingga jam 6 petang, 22 Jun.

"Calon juga boleh menyemak keputusan menerusi myresultspm.moe.gov.my mulai jam 10 pagi, 16 Jun hingga jam 6 petang, 24 Jun.

*Bagi calon yang tidak mempunyai capaian Internet, mereka boleh menghubungi pihak sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah atau Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak," katanya.

Seramai 36,385 calon Sarawak mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2021 dengan 34,1432 calon SMK, 937 calon sekolah menengah swasta, 316 calon sekolah di bawah agensi lain selain Kementerian Pendidikan Malaysia, 26 calon sekolah menengah agama rakyat dan 964 calon persendirian.

Berita Harian X