Khamis, 16 Jun 2022 | 2:17pm

321 calon SPM 2021 Terengganu capai semua A

KUALA TERENGGANU: Terengganu terus mengekalkan kecemerlangan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 apabila merekodkan Gred Purata Negeri (GPN) 4.72 sekali gus mengatasi Gred Purata Nasional 4.86.

Berita baik itu diumumkan Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Abdul Muie Ngah pada Majlis Pengumuman Keputusan Peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah (SM) Sains Kuala Terengganu di sini, hari ini.

Abdul Muie berkata, seramai 16,627 calon menduduki peperiksaan SPM 2021 di 215 pusat peperiksaan seluruh Terengganu.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 321 calon memperoleh keputusan semua A (A+, A dan A-).

"Selain itu, tujuh calon mendapat keputusan cemerlang dengan seorang pelajar memperoleh keputusan12 A+, 10+ (seorang) dan lima pelajar memperoleh 9A+.

"Turut membanggakan apabila seorang calon berkeperluan khas (CBK) (masalah pendengaran) memperoleh 9A+ dan 3A dalam peperiksaan kali ini," katanya.

Abdul Muie berkata, lapan sekolah merekodkan pencapaian semua lulus mata pelajaran dengan SM Sains Kuala Terengganu berada di tempat pertama.

Katanya, ia diikuti SM Imtiaz Kuala Terengganu di tempat kedua, SM Sains Sultan Mahmud (ketiga), SM Sains Dungun (keempat), SM Imtiaz Besut (kelima), SM Imtiaz Kemaman (keenam), SM (Atas) Sultan Zainal Abidin (ketujuh) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Durian Guling (kelapan).

"Ia menunjukkan peningkatan berbanding enam sekolah ketika SPM 2020.

"SM Sains Kuala Terengganu turut merekodkan Gred Purata Sekolah (GPS) terbaik dengan pencapaian 1.40," katanya.

Abdul Muie berkata, keputusan GPN 4.72 yang direkodkan Terengganu menjadi sebagai satu permulaan dan penanda aras untuk SPM 2022 dan yang akan datang.

"Kita bermula dengan baik, Insya-Alllah mengharapkan SPM akan bertambah baik lagi," katanya.

Abdul Muie (tiga kiri) bersama pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan cemerlang SPM 2021 selepas sidang media di SM Sains Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Abdul Muie (tiga kiri) bersama pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan cemerlang SPM 2021 selepas sidang media di SM Sains Kuala Terengganu. - Foto NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X