Khamis, 16 Jun 2022 | 1:49pm
Md Said menunjukkan peratusan pencapaian keputusan keseluruhan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di sidang media hari ini.- Foto NSTP/ Mary Victoria Dass
Md Said menunjukkan peratusan pencapaian keputusan keseluruhan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 di sidang media hari ini.- Foto NSTP/ Mary Victoria Dass

1,122 calon SPM di Johor capai keputusan semua A

JOHOR BAHRU: Seramai 1,122 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 berjaya mencapai keputusan cemerlang 10A dalam semua mata pelajaran yang diduduki.

Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Md Said Md Daimon, berkata daripada jumlah itu, 30 calon mendapat semua A+ bagi mata pelajaran yang diduduki.

Beliau berkata, bilangan calon mendapat kepujian sekurang-kurangnya 1C adalah seramai 6,031 orang manakala calon sekurang-kurangnya 1G pula adalah 12,118.

Katanya, pencapaian calon SPM 2021 adalah kohort pertama menduduki peperiksaan menggunakan format baharu pentaksiran dan peperiksaan.

"Prestasi ini menunjukkan kualiti calon cemerlang di negeri Johor. Berdasarkan pencapaian SPM 2021, terdapat 53 sekolah di Johor mencapai kelulusan 100 peratus layak mendapat sijil yang meliputi sekolah bandar dan luar bandar," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Md Said berkata, secara keseluruhannya terdapat seramai 43,253 orang calon hadir menduduki peperiksaan pada tahun lalu.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai 37,846 calon layak mendapat sijil bersamaan dengan 87.5 peratus.

"Gred Purata Nasional (GPN) Negeri Johor pada 2021 adalah 4.75, ia tak boleh dibandingkan dengan pencapaian tahun lalu kerana format berbeza.

"Gred Purata Sekolah (GPS) bagi semua 70 sekolah kategori luar bandar ialah 4.87 dengan 82 calon memperoleh semua A dan GPS bagi 205 sekolah kategori luar bandar ialah 4.73 dengan 1,040 calon cemerlang semua A.

"Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Agama memperoleh GPS 2.48 dengan 25 pelajar cemerlang semua A manakala 20 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan memperoleh GPS 3.56 dengan 31 calon cemerlang," katanya.

Berita Harian X