Khamis, 16 Jun 2022 | 10:46am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Syarikat, individu tipu bidaan disenarai hitam 5 tahun

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa bulan ini mana-mana syarikat dan pengurusan tertinggi yang melakukan penipuan dalam bidaan projek kerajaan akan disenarai hitam dan disekat daripada menyertai sebarang tender projek awam selama lima tahun.

Tindakan itu susulan penguatkuasaan Pekeliling Kerajaan 1.6 Integriti Dalam Perolehan Kerajaan (PK 1.6) oleh Kementerian Kewangan bermula 1 Jun lalu. Pekeliling itu bertujuan mengekang atau menghalang syarikat atau pengurusan daripada menyertai pakatan harga untuk menguasai bidaan sesuatu projek kerajaan sehingga boleh menyebabkan kerugian kepada dana awam.

Mengikut PK 1.6, syarikat yang membentuk kartel untuk melakukan penipuan bidaan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Persaingan 2010 dan tawaran kontrak bagi perolehan itu akan ditarik balik.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail, berkata pelaksanaan PK 1.6 itu susulan jumlah aduan berhubung penipuan bidaan didapati meningkat hampir 200 peratus sejak beberapa tahun kebelakangan membabitkan nilai bidaan berjumlah lebih RM2 bilion.

Beliau berkata, PK 1.6 menetapkan syarikat yang berminat menyertai tender kerajaan perlu mematuhi Akta Persaingan 2010 selain undang-undang lain yang dinyatakan dalam pekeliling berkenaan.

Katanya, penguatkuasaan PK 1.6 juga akan dapat membanteras ketirisan dalam perolehan kerajaan yang mengakibatkan kerugian ratusan juta ringgit.

"Antara kesan pelanggaran PK 1.6 adalah pihak yang melakukan penipuan bida, termasuk syarikat boleh hilang kelayakan untuk dinilai dan dilantik bagi perolehan berkenaan, selain tindakan lain mengikut undang-undang peraturan perolehan kerajaan.

"Syarikat itu juga akan dimasukkan ke dalam watch list sebagai rujukan kepada semua agensi kerajaan lain apabila tender dikeluarkan untuk tidak memilih syarikat berkenaan," katanya kepada BH.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail
Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail. - NSTP/Fariz Iswadi Ismail

Tipuan bidaan dikatakan berlaku apabila dua atau lebih pembida dalam sesuatu tender berpakat untuk mengganggu persaingan.

Pembida yang berpakat juga menentukan pemenang tender pada harga tender ditetapkan; pembida berpakat untuk menetapkan tender tanpa perlu bersaing untuk memberikan tender terbaik.

Iskandar berkata, tipuan bida boleh dikesan apabila dokumen bidaan mengandungi persamaan kesilapan dari segi ejaan, kiraan membabitkan tulisan tangan atau bertaip, terdapat perubahan fizikal contohnya pembetulan harga, spesifikasi dan penyerahan dokumen tidak lengkap pada dokumen di mana ia di buat saat akhir.

Selain itu, pembida menyerahkan dokumen bidaan untuk dirinya dan pesaingnya pada masa sama selain mereka berpakat membida dalam bidaan yang sama sedangkan mereka tidak layak atau mampu melaksanakan kontrak.

"Pembida turut mengetahui maklumat sulit bidaan pesaingnya sedangkan hanya pegawai perolehan sahaja yang mempunyai akses kepada maklumat berkenaan.

"Bagi tender berfasa, keputusan menunjukkan pembida yang terbabit bergilir-gilir berjaya dalam setiap masa," katanya.

Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2020 Siri 1 mengesan kes pemborosan, pembaziran dan kehilangan atau kerugian wang kerajaan berjumlah hampir RM65 juta.

LKAN yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac lalu turut mendedahkan 682 isu pengauditan dengan lima daripadanya berpotensi dikenakan tindakan punitif dan baki 677 isu lagi membabitkan isu korektif.

Iskandar berkata, penguatkuasaan PK 1.6 adalah cara terbaik untuk memberi kesedaran kepada syarikat dan pegawai yang berurusan dalam hal berkaitan bidaan tender untuk mengesan risiko berlaku penipuan dalam bidaan.

"Kita akui usaha membanteras terus penipuan bida ini sukar, namun ada fear factor dan ketegasan di situ untuk mengawal keadaan berkenaan," katanya.

Sebelum ini, MyCC mendedahkan sedang menyiasat lebih 500 syarikat yang disyaki membuat penipuan dalam bidaan projek kerajaan membabitkan tender dengan nilai keseluruhan kira-kira RM2 bilion.

Iskandar berkata, semua syarikat terbabit juga tertakluk kepada peruntukan dalam PK 1.6 dan jika siasatan menjurus kepada penipuan bida, syarikat itu juga akan dikenakan tindakan sama walaupun kelulusan bida diberi sebelum PK 1.6 dikuatkuasakan.

"Satu kes bagi penipuan bidaan ini boleh membabitkan lima hingga 50 syarikat untuk kes sama, namun akhirnya ia boleh dikesan, jika contohnya mereka berurusan dengan pihak ketiga yang sama atau penandatangan sama atau harga ditawarkan lebih kurang sama.

"Bagi kes 500 syarikat yang sedang disiasat, ia membabitkan tender bagi perkhidmatan pembersihan bangunan kerajaan, penyelenggaraan lebuh raya dan jalan, pembersihan atau ubah suai yang membabitkan jutaan ringgit," katanya.

Berita Harian X