Khamis, 16 Jun 2022 | 10:01am

SPM 2021: 9,696 daripada 407,097 calon semua A, 1,655 gagal

PUTRAJAYA: Seramai 9,696 atau 2.54 peratus daripada 407,097 calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 memperoleh keputusan semua A.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid ketika mengumumkan keputusan bagi peperiksaan diambil pada Februari hingga Mac lalu itu, berkata seramai 71,842 calon atau 18.80 peratus pula memperoleh keputusan sekurang-kurangnya kepujian.

Bagi calon mendapat keputusan lulus, katanya, ia membabitkan seramai 129,796 atau 33.96 peratus, manakala 125,454 calon pula sekurang-kurangnya gagal satu mata pelajaran.

"Daripada jumlah calon yang menduduki peperiksaan itu juga, seramai 43,703 bersamaan 11.44 peratus memperoleh keputusan kombinasi gred dan 0.43 peratus atau 1,655 calon memperoleh keputusan semua gagal," katanya pada sidang media mengumumkan keputusan SPM 2021, di sini hari ini.

Seramai 9,696 atau 2.54 peratus daripada 407,097 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2021 memperoleh keputusan semua A. - Foto fail NSTP/Mohd Fadli Hamzah
Seramai 9,696 atau 2.54 peratus daripada 407,097 calon yang menduduki peperiksaan SPM 2021 memperoleh keputusan semua A. - Foto fail NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Sementara itu, beliau berkata, Prestasi Gred Purata Nasional (GPN) SPM 2021 menunjukan penurunan, iaitu 4.86 berbanding 4.80 bagi SPM 2020.

Nor Zamani menjelaskan, nilai GPN lebih rendah menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik, namun kementerian tidak membuat perbandingan kerana setiap calon mempunyai kekuatan masing-masing.

"Selain itu, calon SPM 2021 juga adalah kohort pertama yang menggunakan KSSM (Kurikulum Standard Sekolah Menengah), iaitu satu format baharu dalam mata pelajaran.

"Pelaksanaan KSSM ini bertujuan menyediakan calon dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai bagi memenuhi keperluan negara pada masa hadapan sejajar dengan hasrat yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

"KSSM juga memberi penekanan kepada penguasaan kemahiran abad ke-21 seperti komunikasi, kolaboratif, pemikiran kritis dan kreatif," katanya.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Nor Zamani Abdol Hamid (tengah) pada sidang media pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021 di Kementerian Pendidikan hari ini. Turut sama (dari kiri) Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Dr Norisah Suhaili; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Dasar dan Kurikulum), Datuk Pkharuddin Ghazali; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan profesionalisme), Dr Ahmad Rafee Che Kassim dan Pengarah Peperiksaan, Dr Mohd Azam Ahmad. - Foto BERNAMA

Berita Harian X