Rabu, 15 Jun 2022 | 5:51pm
Qobin (kanan) dan Ahmad Reduan di Puncak Everest pada tahun 2004. NSTP/Ihsan Qobin
Qobin (kanan) dan Ahmad Reduan di Puncak Everest pada tahun 2004. NSTP/Ihsan Qobin

Pendaki Everest perlu ada bukti sahih - Qobin

KUALA LUMPUR: Pendaki yang mendakwa berjaya menawan Gunung Everest, gunung tertinggi di dunia, perlu menunjukkan bukti sahih seperti gambar atau video sebelum boleh menggelarkan diri mereka sebagai pendaki Everest.

Penjelajah Grand Slam pertama negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, berkata bukti itu juga perlu disahkan oleh sherpa yang menemani dan pegawai Kementerian Pelancongan Nepal, selain sijil yang diterima daripada kementerian berkenaan.

Beliau berkata, di Malaysia, terdapat lebih 20 pendaki yang berjaya menjejakkan kaki ke Everest sejak tahun 1997 hingga kini.

Qobin (kanan) dan Ahmad Reduan di Puncak Everest pada tahun 2004. NSTP/Ihsan Qobin
Qobin (kanan) dan Ahmad Reduan di Puncak Everest pada tahun 2004. NSTP/Ihsan Qobin

"Namun terdapat pertikaian terhadap beberapa pendaki yang menggelarkan diri mereka pendaki Everest sedangkan mereka hanya ke Kem Induk Everest.

"Bahkan ada juga yang mengaku sudah mendaki melebihi dua kali tetapi tiada bukti bergambar atau video," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Muqharrabin atau lebih dikenali dengan nama Qobin berkata, pendakian Everest bukan mudah dan ia membabitkan belanja hampir RM160,000 hingga RM200,000.

Katanya, ia tidak termasuk RM80,000 hingga RM150,000 untuk latihan kerana ia membabitkan pengalaman mendaki gunung bersalji lain sebagai persediaan fizikal dan mental.

"Jangan malu mengaku kegagalan daripada menipu semua orang terutama rakyat Malaysia demi mendapatkan penghormatan yang tidak bermaruah," katanya.

Qobin pernah menamatkan siri pendakian ke tujuh puncak tertinggi di tujuh benua di dunia antara 2010 hingga 2014 serta berski 'last degree' di Kutub Utara dan Kutub Selatan pada 2017 hingga 2018. – BERNAMA

Berita Harian X