Rabu, 15 Jun 2022 | 12:13pm

Buruh dituduh cuba bunuh rakan sekampung

KOTA BHARU: Seorang buruh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan cuba membunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada rakan sekampungnya, 15 Mei lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Amri Faisa Sauti, 39, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Tertuduh didakwa melakukan cubaan bunuh sehingga menyebabkan kecederaan kepada Mohd Zailuddin Hart, 50, di hadapan Masjid Kampung Bukit Temalong, Gunong dekat Bachok, jam 8.45 malam, pada 15 Mei 2022.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukry manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan jaminan kerana tertuduh melakukan kesalahan serius dan pertuduhan itu juga tidak boleh dijamin.

Tertuduh memaklumkan bahawa dia tidak akan melantik peguam dan akan menjalani prosiding perbicaraan sendiri.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Seorang buruh, Amri Faisa Sauti, 39 didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu terhadap pertuduhan cuba membunuh rakan sekampung di hadapan Masjid Kampung Bukit Temalong, Gunong, Bachok pada 15 Mei lalu. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Seorang buruh, Amri Faisa Sauti, 39 didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Bharu terhadap pertuduhan cuba membunuh rakan sekampung di hadapan Masjid Kampung Bukit Temalong, Gunong, Bachok pada 15 Mei lalu. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X