Selasa, 14 Jun 2022 | 8:11pm
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. - Foto NSTP
Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay. - Foto NSTP

Nafi pegawai tertinggi PDRM terbabit sindiket pengedaran dadah

KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, menafikan pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit sindiket pengedaran dadah.

Katanya, laporan itu berniat jahat untuk menjejaskan kredibiliti pucuk pimpinan tertinggi dan imej PDRM secara keseluruhannya.

Selain itu, beliau berkata, ia cuba memberi gambaran bahawa rasuah berleluasa dalam PDRM.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa pegawai tertinggi JSJN dan pegawai PDRM yang lain bersekongkol dengan sindiket dadah.

"Jika terdapat bukti kukuh mana-mana pegawai atau anggota polis bersekongkol dengan sindiket pengedaran dadah, kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang tegas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ayob Khan berkata, kejayaan yang dicapai PDRM adalah hasil kerjasama semua jabatan termasuk agensi luar.

Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah percaya atau terpengaruh dengan sebarang kenyataan yang tidak berasas dan tidak diketahui kesahihannya.

"Malah, tindakan berkongsi atau menyebarkan kenyataan sedemikian akan menimbulkan keresahan masyarakat," katanya.

Berita Harian X