Selasa, 14 Jun 2022 | 7:59pm
Siti Famiza hiba ketika kongsikan keadaan kesihatan Muhammad Faris Naufal. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Siti Famiza hiba ketika kongsikan keadaan kesihatan Muhammad Faris Naufal. - NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI

'Bila anak menangis, saya pun ikut menangis'

ALOR SETAR: "Bila anak menangis, saya pun ikut menangis, malah dapat merasakan kesakitan yang ditanggungnya. Pada usia masih begitu kecil, dia terpaksa melalui pelbagai rawatan termasuk kemoterapi, kerana menderitai penyakit barah hati."

Sayu nada Siti Famiza Bahari, 32, ketika kongsikan keadaan kesihatan anak bongsu, Muhammad Faris Naufal Mohd Fairul Ridzuan, 2, yang disahkan menghidap hepatoblastoma (kanser hati) pada Mac lalu.

Katanya, beliau membawa Muhammad Faris Naufal untuk menjalani pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) selepas mendapati bahagian perut sebelah kanan kanak-kanak itu mengeras.

"Selepas melakukan pemeriksaan, termasuk imbasan sinar-X, doktor mengesahkan anak menghidap kanser hati. Muhammad Faris Naufal kemudian dirujuk ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan kami perlu berulang-alik ke sana mengikut janji temu dengan doktor," katanya ketika ditemui di rumah mereka, di sini, hari ini.

Setakat ini, Siti Famiza berkata, Muhammad Faris Naufal sudah selesai melalui tujuh kali rawatan kemoterapi di HPP, dan dijangka menjalani pembedahan untuk membuang separuh daripada hatinya pada Julai depan.

Beliau berkata, berat badan anaknya itu juga berkurangan hingga hanya 8.9 kilogram (kg) berbanding 11kg sebelum ini, kerana tidak berselera makan.

"Sebelum ini, saya mengambil upah mengasuh kanak-kanak di rumah dan bolehlah membantu kewangan keluarga, selain suami bekerja di bengkel kereta dengan pendapatan kira-kira RM1,200 sebulan.

"Namun sejak anak sakit, saya memberi tumpuan sepenuhnya kepada Muhammad Faris Naufal dan anak sulung, Nur Fariza Najla, 5, di rumah," katanya.

Siti Famiza berkata, mereka perlu menyimpan wang untuk membawa Muhammad Faris Naufal menjalani rawatan di HPP, namun adakala terputus kewangan.

Katanya, beliau bersama suami buntu memikirkan sumber kewangan untuk menampung keperluan rawatan anak, selain membayar sewaan rumah sebanyak RM500 sebulan dan menanggung kos sara hidup yang semakin meningkat kini.

"Muhammad Faris Naufal juga perlu minum susu formula khas dan memakai lampin sepanjang masa. Jika ada yang hendak membantu, saya bersyukur sangat kerana sudah tidak tahu mana lagi hendak cari duit," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Siti Famiza melalui talian 011-29527561.

Sementara itu Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal turut hadir menyerahkan sumbangan wang tunai, barangan keperluan harian dan susu formula khas bagi meringankan beban Siti Famiza sekeluarga.

Berita Harian X