KUALA NERUS: "Kami kumpul duit sejak kecil untuk pergi haji," kata pasangan adik beradik, Raja Ahmad Hazwan Yusof, dan Raja Ahmad Falahi.
Raja Ahmad Hazwan, 30, berkata, dia dan abangnya, Raja Ahmad Falani, 33, menanam hasrat untuk menunaikan ibadah haji pada usia muda menyebabkan mereka mengambil sikap jimat cermat dan menyimpan wang sejak kecil.
"Kami menyimpan cita-cita menunaikan haji di usia muda dan menyimpan duit termasuk duit raya sejak daripada kecil dan tidak pernah mengusik duit berkenaan walaupun dalam keadaan terdesak," katanya yang bekerja sebagai pemandu lori milik syarikat perniagaan keluarganya.
Raja Ahmad Hazwan berkata, dia berterima kasih kepada ibu dan bapa, Yusof Raja Yunus, 59, dan Fazidah Abu Bakar, 58, kerana sejak mereka lahir, wang yang dihadiahkan saudara mara disimpan sebelum membuka akaun Tabung Haji pada 2008.
Beliau yang tinggal di Kampung Kesom, Manir, turut bersyukur kerana selain dia dan abang, turut bersama mengerjakan rukun Islam kelima itu adalah isteri, Nur Izzati Abdullah, 33, dan kedua ibu bapanya.
"Saya gembira kerana dapat menunaikan ibadah haji hasil duit simpanan sendiri tanpa bantuan ibu bapa.
"Malah, hasil simpanan itu juga, saya mampu membiayai perbelanjaan mengerjakan haji untuk isteri yang sepenuh masa menjadi suri rumah," katanya.
Sementara itu, Yusof berkata, dia bersama isteri sentiasa menasihatkan mereka supaya sentiasa menanamkan tabiat menabung dan sikap berjimat cermat.
"Ini adalah haji pertama saya dan bersyukur apabila kami lima beranak terpilih untuk ke Tanah Suci selepas dua tahun tidak dapat menunaikan ibadah berkenaan walaupun sudah menerima tawaran pada 2020.
"Semoga urusan haji kami di bumi Makkah berjalan lancar," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.