Selasa, 14 Jun 2022 | 3:27pm
Foto hiasan
Foto hiasan

NS sedia tingkatkan pengeluaran makanan

SEREMBAN: Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan keluasan tanah untuk melaksanakan projek pengeluaran makanan bagi keperluan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir, berkata pihaknya bersedia untuk memberi ruang bagi meningkatkan keluasan tanah atau memulihkan tanah terbiar untuk projek penternakan dan pertanian.

"Kerajaan negeri sentiasa proaktif memajukan sektor makanan dan pelbagai projek telah dan sedang diusahakan bagi menambah pengeluaran makanan untuk rakyat.

"Ia termasuk memulih dan memajukan kolam serta tanah terbiar dengan projek ekonomi.

"Malah, kita turut menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Selangor bagi membangunkan tapak projek ternakan lembu National Feedlot Corporation (NFC) terbengkalai di Gemas dengan tanaman jagung bijirin.

"Terbaharu, kita menawarkan kepada pengusaha yang berminat untuk mengusahakan kawasan seluas kira-kira 200 hektar di bawah seliaan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri ini bagi aktiviti penternakan.

"Selain itu, seluas 40 hektar lagi di Gemas akan dibangunkan dengan projek pertanian yang akan bermula dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau mengulas mengenai usaha kerajaan Persekutuan yang menggariskan lima langkah untuk memastikan sekuriti makanan terjamin.

Langkah itu termasuk meningkatkan kerjasama awam, swasta dengan memfokuskan usaha modenisasi dan menggalakkan pertanian pintar bagi meningkatkan hasil pertanian, selain memperkenal harga siling bergerak yang berubah kepada faktor harga input.

Bakri mengakui banyak ruang perlu ditingkatkan dari segi keluasan tanah untuk dimajukan dengan projek makanan.

"Kita tidak mahu sesuatu projek dilakukan sekerat jalan, sebaliknya perlu dilaksanakan secara jangka panjang yang memberi impak kepada kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan mengoptimumkan penggunaan seluas 161 hektar tanah rizab padang ragut bagi penanaman rumput napier untuk penghasilan makanan ternakan.

Katanya, jumlah tanah berkenaan adalah yang berbaki daripada keseluruhan 1,300 hektar sebelum ini.

"Tanaman rumput napier boleh dituai dalam tempoh 45 hari dan kita berhasrat memperbanyakkan makanan bagi ternakan.

"Ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan sedikit (kebergantungan) kepada makanan ternakan lain khususnya import," katanya.

Berita Harian X