Selasa, 14 Jun 2022 | 2:47pm
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada sidang media Majlis Anugerah Media SPRM 2022 di Putrajaya. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki pada sidang media Majlis Anugerah Media SPRM 2022 di Putrajaya. - NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

SPRM bebas siasat kes rasuah

KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menegaskan agensi itu bebas dan tidak terikat dalam menjalankan siasatan kes rasuah dan salah laku.

Dalam bidang penguatkuasaan, tegasnya, SPRM dijaga dan diteliti oleh lima badan pemantau yang bertanggungjawab menasihati perjalanan agensi penguatkuasaan itu.

"Untuk menyatakan SPRM tidak bebas dan terikat adalah tidak benar kerana kita boleh menjalankan siasatan terhadap sesiapa sahaja, tertakluk dalam bidang kuasa kami.

"Kita mempunyai lima badan pemantau yang sentiasa menasihati perjalanan aktiviti SPRM, lebih banyak berbanding di peringkat global kerana kita ada Independent Commission Against Corruption (ICAC) Hong Kong sahaja," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Media SPRM di sini, hari ini.

Azam berkata, lima mekanisme yang bertindak sebagai semak dan imbang terhadap perjalanan SPRM adalah Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Jawatankuasa Aduan (JKA), Panel Penilaian Operasi (PPO) serta Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR).

Berita Harian X