Selasa, 14 Jun 2022 | 2:27pm

Bina lebih banyak TAPS atasi impak kemarau besar 2025

IPOH: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan mewujudkan lebih banyak Projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) selain mengoptimumkan fungsi kolam takungan sedia ada sebagai mekanisme menangani impak kemarau besar menjelang 2025.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata ia sebagai alternatif jika keadaan itu kelak menjejas sumber air utama daripada empangan di hulu sungai.

"Kita memantau fenomena kemarau besar yang dijangka pada 2025 dan KASA meletakkan keutamaan untuk memastikan sumber air dapat dipelihara," katanya selepas merasmikan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah ke-30, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Hotel Casuarina Meru, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas persediaan jangka panjang khususnya pelan KASA dalam menghadapi kemarau yang dijangka berlaku pada 2025 bagi memastikan bekalan air tidak terjejas dengan mengambil kira paras empangan dan takungan yang mungkin berisiko menyusut disebabkan kemarau.

TAPS adalah kaedah penyimpanan air mentah dengan cara mewujudkan kolam di kawasan hilir dan pinggir sungai serta berhampiran loji air untuk menjamin bekalan air, selain membantu mengawal situasi banjir dengan pelaksanaannya tidak memerlukan kos besar.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, peruntukan perundangan sedia ada sudah memadai untuk membolehkan tindakan diambil terhadap aktiviti pencerobohan rezab sungai yang dilihat antara antara faktor kesukaran bertindak menangani bencana seperti banjir dan tanah runtuh.

Katanya, bencana terutama banjir menjadi teruk apabila rezab sungai yang seharusnya digunakan untuk melindungi keadaan daripada menjadi lebih kritikal, diceroboh terutama menerusi penambahan struktur baharu seperti rumah kediaman yang diubahsuai hingga kawasan tebing sungai.

"Isu ini serius sebab jika hendak pindahkan rumah itu, perlukan kos lain memandangkan penghuninya sudah mengeluarkan belanja. Sebab itu jika boleh ia (rezab sungai) dijaga dan dipelihara dari awal," katanya.

 Tuan Ibrahim (tengah) merasmikan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah ke-30 JPS hari ini.NSTP/L MANIMARAN
Tuan Ibrahim (tengah) merasmikan Persidangan Pengurus Kanan dan Jurutera Daerah ke-30 JPS hari ini.NSTP/L MANIMARAN
Berita Harian X