Isnin, 13 Jun 2022 | 8:36pm
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - Foto NSTP
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin. - Foto NSTP

Tiga langkah tangani isu kekurangan ubat - KJ

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) merumuskan tiga langkah penyelesaian sementara untuk menangani isu kekurangan bekalan ubat-ubatan yang kini berlaku di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata langkah pertama dengan membenarkan fasiliti kesihatan swasta memohon pinjaman bekalan ubat-ubatan dari fasiliti kesihatan swasta lain atau fasiliti kesihatan kerajaan yang terdekat.

Beliau berkata, dalam soal ini fasiliti kesihatan kerajaan boleh menimbang untuk meminjamkan bekalan ubat-ubatan untuk kegunaan ketika kecemasan, krisis dan bencana dengan memastikan terlebih dahulu ketersediaan dan baki stok ubat-ubatan mencukupi untuk kegunaan aktiviti harian di fasiliti kesihatan kerajaan terbabit.

"Selain itu, pesakit juga boleh dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan terdekat untuk meneruskan rawatan sekiranya perlu, namun pesakit mungkin memerlukan perubahan regimen ubat-ubatan berdasarkan ketersediaan di fasiliti kerajaan yang dirujuk. Langkah akhir, pesakit boleh membeli ubat-ubatan berkenaan dari Farmasi Komuniti dengan preskripsi dari klinik atau hospital swasta berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

BH sebelum ini melaporkan, beberapa jenis ubat-ubatan mengalami kekurangan di pasaran, termasuk di klinik swasta berikutan kegagalan pembekal dari luar negara menghantar bekalan mengikut tempoh ditetapkan akibat kekurangan bahan mentah.

Antara ubat didakwa mengalami kekurangan adalah ubat batuk, demam dan antibiotik yang disifatkan penting untuk rawatan harian pesakit, selain ubat untuk merawat penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) disebabkan peningkatan kes itu di seluruh negara.

Susulan pendedahan itu, KKM mencari strategi bagi penyelesaian jangka masa sederhana dan panjang berhubung isu kekurangan bekalan ubat termasuk meneroka sumber baharu atau bekerjasama dengan industri farmaseutikal tempatan.

Dalam pada itu, Khairy berkata, pihaknya mengambil maklum isu kekurangan bekalan ubat-ubatan di klinik dan hospital swasta serta farmasi komuniti di Malaysia yang dilaporkan mutakhir ini.

"KKM memandang serius isu kekurangan bekalan ubat-ubatan sama ada di fasiliti kesihatan kerajaan ataupun swasta.

"Justeru, KKM berharap semua langkah ini dapat memberi penyelesaian sementara terhadap isu kekurangan bekalan ubat-ubatan ke fasiliti kesihatan swasta supaya kesinambungan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada rakyat dapat diteruskan," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, KKM memulakan perkongsian maklumat senarai ubat-ubatan yang mengalami gangguan dan cadangan produk alternatif bagi ubat-ubatan terbabit dengan pihak pengamal perubatan swasta, hospital swasta dan farmasi komuniti.

Senarai ini, katanya akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan langkah ini dilakukan untuk mengurangkan impak kepada situasi semasa dan penggunaan secara optimum ubat-ubatan generik lain sebagai alternatif, yang masih mempunyai bekalan di pasaran.

"Penyelesaian jangka panjang sedang diusahakan KKM dalam menangani isu ini dan pemantauan berterusan dibuat untuk memastikan ketersediaan ubat-ubatan di seluruh Malaysia," katanya.

Berita Harian X