Isnin, 13 Jun 2022 | 4:02pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Perlu 12,000 beg darah setahun selamatkan pesakit

KOTA BHARU: Unit Perubatan Transfusi Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) memerlukan sekurang-kurangngya 12,000 beg darah setiap tahun bagi menampung keperluan semasa pesakit.

Pegawai Perubatan Unit Perubatan Transfusi Hospital USM, Dr Mohd Amran Ab Wahab, berkata setiap bulan purata darah diperlukan adalah sebanyak 800 beg.

Pada masa sama, katanya bekalan darah itu turut diberikan kepada mana-mana hospital yang memerlukan.

Katanya, setakat ini jumlah darah di unit berkenaan masih mencukupi, namun bekalan perlu dipastikan sentiasa ada memandangkan keperluan darah diperlukan setiap minggu dan bulan, bergantung jumlah kes kecemasan diterima.

"Kita perlu sentiasa memastikan bekalan darah sentiasa ada untuk membantu pesakit termasuk kes kecemasan yang mengalami pendarahan di luar jangka seperti kemalangan atau komplikasi semasa bersalin, bayi pramatang, talasemia, kanser, kegagalan buah pinggang dan mereka yang perlu menjalani pembedahan kritikal serta kompleks.

"Ketika negara berhadapan dengan penularan pandemik COVID-19 sejak dua tahun, stok bekalan darah mengalami kemerosotan sehingga 50 peratus disebabkan kekangan untuk menganjurkan program selain perasaan takut dalam kalangan masyarakat untuk keluar menderma darah semasa pandemik.

Dr Mohd Amran
Dr Mohd Amran

"Bagaimanapun, kini stok bekalan darah sudah stabil apabila banyak program atau kempen derma darah yang diadakan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat selain kesedaran orang awam mengenai kepentingan menderma darah yang mampu menyelamatkan nyawa insan yang memerlukan," katanya kepada pemberita ketika Program Derma Darah di Hotel Perdana, di sini, hari ini.

Dr Mohd Amran berkata, bekalan darah yang paling rendah dalam simpanan Unit Perubatan Transfusi Hospital USM adalah darah jenis O.

"Justeru, bekalan darah O perlu lebih banyak disebabkan kebanyakan pesakit yang dirawat di hospital mempunyai darah jenis O selain darah berkenaan juga boleh didermakan kepada mana-mana individu daripada jenis kumpulan darah lain," katanya.

Berita Harian X