KUALA LUMPUR: Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL 2022) berjaya menarik kehadiran 1.25 juta pengunjung sepanjang 10 hari penganjurannya.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola PBAKL 2022, Mohd Khair Ngadiron, berkata sambutan menggalakkan pengunjung seluruh negara membuktikan industri pembukuan masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, impak positif ini secara tidak langsung merangsang budaya membaca dalam kalangan Keluarga Malaysia.
"Seramai 137 pempamer dan lebih 700 reruai menjadikan PBAKL 2022 sebagai program buku terbesar negara setakat ini.
"Sambutan hangat daripada pengunjung dan pempamer memperlihatkan industri buku fizikal masih relevan di sebalik kepesatan teknologi.
"Kehadiran penulis terkenal, selebriti dan pempengaruh juga menarik minat orang ramai untuk berkunjung ke PBAKL 2022," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, hari ini.
Buat julung kalinya, PBAKL 2022 diadakan secara hibrid bagi memberi ruang kepada seluruh rakyat Malaysia menyertai acara berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Langganan dan Pemasaran Pengedaran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Tengku Kaifimirza Tengku Hamzah, berkata reruai NSTP di PBAKL 2022 terus mendapat sambutan menggalakkan.
Katanya, akhbar keluaran NSTP terus menjadi pilihan pengunjung disamping pelbagai aktiviti menarik yang dianjurkan.
"Sambutan ini adalah penanda aras akhbar NSTP terus menjadi pilihan utama rakyat dalam mendapatkan berita terkini.
"Pembelian akhbar digital juga meningkat kerana ia antara alternatif yang ditawarkan kepada pengunjung dengan harga promosi.
"Orang ramai yang mahu mendapatkan akhbar digital NSTP dengan harga promosi serendah RM31.80 untuk langganan setahun boleh menghubungi [email protected]," katanya.