Ahad, 12 Jun 2022 | 12:17pm
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan. - Foto NSTP
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan. - Foto NSTP

"Tuduhan berat terhadap institusi kehakiman"

KUALA LUMPUR: Tuduhan bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan awal kerana kes mahkamah yang dihadapinya, adalah satu tuduhan berat terhadap integriti hakim dan institusi kehakiman negara.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata tuduhan itu tidak wajar yang membawa persepsi jika Barisan Nasional (BN) menang, perjalanan bagi kes itu akan berubah.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas kepada kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhamad Sanusi Md Nor, merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS, yang mendakwa Ahmad Zahid bertegas mahu mengadakan PRU-15 lebih awal kerana takut dipenjarakan.

"Bila saja PRU berlangsung dan jika BN menang, apa yang cuba Datuk Seri Sanusi katakan? Bahawa disebabkan BN menang, tiba-tiba hakim akan dipaksa tukar fikiran?

"Kalau itu tuduhannya, sebut saja tanpa berselindung kerana itu tuduhan amat berat bukan kepada Datuk Seri Zahid tetapi terhadap integriti hakim dan institusi kehakiman negara.

"Sekarang pun, Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) daripada UMNO. Berdasarkan keputusan MT UMNO, kalau BN menang, Perdana Menteri (masih) sama. Kes masih berjalan. Jadi apa kena mengena PRU awal dengan soal kes mahkamah?

"Selain itu, tiada jaminan BN akan menang PRU," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan, Muhamad Sanusi berkata, Malaysia akan hancur jika rakyat memilih "satu atau dua pemimpin gila kuasa", selain mendakwa Ahmad Zahid yang kini berdepan perbicaraan kes rasuah bertegas mahu PRU diadakan awal kerana takut dipenjarakan.

Katanya, dakwaan Gesa PRU awal kerana kes mahkamah tuduhan berat kepada institusi kehakiman yang PAS tidak berminat untuk mengadakan PRU awal kerana bimbang kehilangan 18 kerusi adalah silap kerana negara mempunyai perkara lain yang lebih penting untuk diselesaikan.

Ahmad Zahid sebelum itu, berkata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang kemungkinan bimbang partinya akan hilang banyak kerusi jika PRU-15 diadakan segera.

Mengulas lanjut, Shahril berkata, Ahmad Zahid tidak mendesak PRU diadakan segera, sebaliknya meminta ia tidak terlalu lewat, atas pertimbangan strategik untuk parti dan negara.

Katanya, suara yang menantikan PRU dan mandat baharu adalah dalam kalangan ahli parti dan rakyat, yang tiada kes mahkamah.

"Sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN, beliau mahu parti menang dan Malaysia mendapat manfaat daripada keadaan politik yang lebih stabil, tanpa persoalan PRU yang membayangi.

"Apa pun, soal ini akan dibincangkan oleh 'top 5' parti (lima pemimpin tertinggi UMNO). Parti lain tak perlu masuk campur tentang perbincangan dalaman UMNO," katanya.

Berita Harian X