Sabtu, 11 Jun 2022 | 5:27pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Mansuh hukuman mati mandatori boleh elak ketidakadilan

KUALA LUMPUR: Pemansuhan hukuman mati mandatori untuk kesalahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dilihat wajar bagi mengelak ketidakadilan terhadap mereka yang ditahan kerana mengedar dadah.

Presiden dan pengasas Komuniti Intervensi Dadah Malaysia (KOMITED Malaysia), Khalid Hashim, berkata langkah itu dapat memberi peluang kepada pesalah dijatuhi hukuman lebih adil dan setimpal dengan kesalahan.

"Saya bersetuju apabila kerajaan mengumumkan untuk memansuhkan hukuman mati mandatori terutama untuk kesalahan dadah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana ia memberi ruang kepada hakim menggunakan budi bicara.

"Sebagai contoh, apakah wajar hukuman gantung ke atas pesalah yang didapati menyimpan 15 gram heroin atau 200 gram ganja," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan hukuman mati mandatori berkaitan kesalahan dadah ketika ini ada kalanya tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan, terutama mereka yang dianiaya atau diperdaya.

Katanya, kerajaan wajar memikirkan hukuman gantian yang lebih relevan dan setimpal seperti penjara dan sebatan.

"Seiring pemansuhan hukuman mati mandatori berkaitan, kerajaan dan pihak berkuasa perlu meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dalam menangani penyeludupan dan pengedaran dadah di negara ini.

"Ia sedikit sebanyak membabitkan isu integriti dan rasuah, maka kerajaan perlu memandang berat isu ini kerana tanpa penguatkuasaan yang mantap, kegiatan itu sukar dibendung," katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, memaklumkan kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.

Katanya, kerajaan bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksanakan berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234), serta 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.

Khalid berkata, hukuman mati atau mati mandatori untuk kesalahan jenayah membabitkan nyawa seperti kesalahan membunuh mungkin masih sesuai dilaksanakan.

Berita Harian X