Khamis, 9 Jun 2022 | 7:44am
Mohd Salim (kiri) mendengar penerangan Pengarah Eksekutif Delima Emas, Datuk Mohammed Saleh Abdul Malek ketika lawatan ke kilang pemprosesan makanan ayam di Ijok, Selangor. - Foto RISDA
Mohd Salim (kiri) mendengar penerangan Pengarah Eksekutif Delima Emas, Datuk Mohammed Saleh Abdul Malek ketika lawatan ke kilang pemprosesan makanan ayam di Ijok, Selangor. - Foto RISDA

RISDA jalin kerjasama dengan syarikat penternakan ayam organik tempatan

NILAI: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mengorak langkah seterusnya dalam usaha mengembangkan lagi peranannya melalui usaha pengukuhan inisiatif Program Agromakanan, antaranya menerusi jalinan kerjasama dengan Delima Emas Sdn Bhd (Delima Emas) iaitu syarikat penternakan ayam daging organik tempatan.

Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif, berkata menerusi kerjasama dengan penggiat industri sedia ada itu yang sarat dengan pengalaman termasuk menggunapakai teknologi canggih dalam sektor penternakan, diharapkan dapat merealisasikan hasrat untuk membantu RISDA dalam menyokong Dasar Agromakanan Negara, sekali gus membantu mengurangkan lagi kebergantungan kepada bekalan makanan import.

Tambah beliau, gemblengan antara kepakaran dan kemudahan dimiliki RISDA seperti mempunyai pusat sembelihan serta terbabit dengan ternakan lembu, dengan pengalaman syarikat berkenaan dapat memastikan bekalan sumber protein itu sentiasa mencukupi untuk kegunaan rakyat dengan tawaran harga yang kompetitif.

"Kehadiran kita di Delima Emas adalah bagi mencari penemuan dan inisiatif baharu dalam memastikan jaminan keselamatan bekalan makanan. Kita tahu ketika ini isu kekurangan bekalan daging ayam dalam pasaran amat jelas. RISDA juga ingin melihat dengan lebih terperinci bagaimana perjalanan merangkumi proses penternakan sehingga penyediaan ayam organik secara komersil.

"Menerusi usaha ini, RISDA boleh bersama-sama bagaimana kita hendak membangunkan kawasan tertentu untuk dijadikan kawasan perladangan atau penternakan ayam seperti mana mampu menyumbang ayam sekitar 300,000 ekor sebulan," katanya kepada pemberita selepas melawat ke ibu pejabat dan pusat pemprosesan ayam organik Delima Emas di sini, semalam.

Pada sebelah pagi, beliau sempat mengadakan lawatan di ladang penternakan ayam organik milik Delima Emas di Ijok, untuk melihat dan belajar mengenai selok-belok sektor penternakan ayam daging di negara ini.

Selain mengeluarkan ayam organik segar, Delima Emas juga menghasilkan produk sejuk beku dan ia dipasarkan di beberapa rangkaian pasar raya besar di negara ini.

Menyentuh rancangan seterusnya, Mohd Salim berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kawasan untuk dipertimbang bagi membina ladang ternakan antaranya di Negeri Sembilan dan Pahang.

Jelasnya, projek pembinaan sebuah ladang penternakan yang mengandungi tiga reban besar serta menggunakan teknologi terkini akan bermula pada tahun ini, dengan kos pelaburan sekitar RM12 juta.

"Kita akan mula pada tahun ini. Kita akan kenal pasti beberapa tempat dahulu dan kita juga akan berbincang dengan pihak kementerian agar kita diberikan geran untuk permulaan projek ini.

"Kita juga akan bersama dengan syarikat lain untuk menjayakan projek ini. Kalau kita bergabung menerusi kerjasama ini, saya yakin dan percaya bukan sahaja kita boleh keluarkan ayam (mentah) tetapi juga produk makanan lain yang berasaskan daging ayam seperti sosej ayam, nuget dan sebagainya.

"Diharapkan harga ayam organik yang bakal dikeluarkan kompetetif harganya setanding dengan ayam biasa di pasaran," katanya.

Bagi pekebun kecil pula, Mohd Salim berkata mereka berpeluang terbabit dengan kontrak ladang (contract farming) yang membabitkan aktiviti projek tanaman bijirin seperti jagung untuk dijadikan makanan ternakan.

Selain menoreh getah, beliau berkata mereka boleh memanfaatkan tanah kawasan sendiri sekitar dua hingga tiga ekar untuk mengusahakan tanaman seperti itu, sekali gus boleh meraih pendapatan tambahan.

"Untuk tanaman jagung, kawasan di utara semenanjung dilihat lebih sesuai kerana tempoh cuaca panas yang panjang sekitar enam ke tujuh bulan. Kita akan menyediakan benih (jagung) untuk pekebun kecil yang berminat dan sudah ada kawasan. Jadi tiada masalah.

"Selain disasarkan untuk kepentingan rakyat, ia juga menjana aktiviti ekonomi tambahan sekali gus membantu pelan strategik kita menjelang 2025 agar pekebun kecil getah mendapat pendapatan sekurang-kurangnya RM4,500 dengan pelbagai program selain getah," katanya.

Berita Harian X