KUALA LUMPUR: Prof Datuk Dr Wan Kamal Mujani dilantik Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang baharu, berkuat kuasa Jumaat lalu.
UKM dalam kenyataan memaklumkan, pelantikan Wan Kamal, 54, bagi mengisi jawatan berkenaan yang sebelum ini disandang Prof Datuk Ir Dr Abdul Wahab Mohammad, yang tamat tempoh lantikan pada 26 Mei lalu.
"Sebelum ini, beliau (Wan Kamal) menjalankan tugas sebagai Pro Naib Canselor Strategi dan Pembangunan Korporat pada 2021 sebelum dilantik ke jawatan sekarang," kata kenyataan itu.
Katanya, anak kelahiran Sungai Besi, Kuala Lumpur itu pernah memegang beberapa jawatan penting di UKM termasuk Pengarah Eksekutif Pusat Strategi, Dekan Fakulti Pengajian Islam dan Timbalan Pengarah Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB).
Beliau juga pernah dilantik Timbalan Pengarah Pusat Kembangan Pendidikan (PKP) dan Felo Bersekutu IKRAB serta beberapa jawatan lain.
Wan Kamal memperoleh Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Al-Azhar, Mesir pada 1992, Ijazah Sarjana dalam bidang Sejarah dan Bahasa Arab dari UKM pada 1997, selain memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sejarah dan Tamadun Islam dari University of Manchester, United Kingdom pada 2005.
Beliau yang mempunyai pengalaman 27 tahun dalam bidang akademik seperti Sejarah dan Tamadun Islam, Pensejarahan Muslim dan Teks serta Sumber Arab dalam Sejarah Islam, menjadikan bidang Pensejarahan Islam dan Sejarah Ekonomi di Timur Tengah, Levant & Mediterranean sebagai minat penyelidikan utamanya.
"Pada masa ini, beliau sedang giat menjalankan penyelidikan mengenai Muslim Kontemporari seperti Kelas Menengah Muslim, Syiling Dinar dan Mata Wang, Ekstremisme dan Keganasan, Kesederhanaan/Wasatiyyah, The Bottom 40, Arab Spring, Wakaf Pendidikan Tinggi, Federalisme di Malaysia, Indeks Syariah, Telaga Mampan dan banyak lagi," kata kenyataan itu.
Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Ts Dr Mohd Ekhwan Toriman berterima kasih kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas pelantikan itu, selain berharap Wan Kamal dapat meneruskan kecemerlangan kepimpinan dalam menyerlahkan lagi penyelidikan dan inovasi universiti watan itu.
"UKM turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Prof Dato' Ir Dr Abdul Wahab atas sumbangan dan kepimpinan beliau menerajui penyelidikan serta inovsi UKM sebelum ini," katanya.– BERNAMA