Selasa, 7 Jun 2022 | 5:39pm

K-KOMM jumpa penggiat industri kreatif sebelum tubuh Perbadanan Industri Muzik

BAGAN DATUK: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan mengadakan pertemuan dengan penggiat industri kreatif muzik bagi menyelesaikan masalah berbangkit seperti isu royalti sebelum penubuhan Perbadanan Industri Muzik.

Timbalan Menterinya, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata perjumpaan itu antara lain bagi memastikan kebajikan penggiat industri terbela dan tidak timbul isu pengabaian hingga menjejaskan periuk nasi mereka.

"Kita melakukan perjumpaan dengan mereka seperti penyanyi supaya dapat mendengar cadangan mereka. Walaupun mereka dibayar royalti melalui tiga badan, tetapi tiada badan khusus yang menjaga kebajikan mereka seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) yang menjaga kebajikan pelakon.

"Saya sudah meminta ketiga-tiga badan iaitu Music Authors Copyright Protection (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia (PPM) Berhad dan Recording Performers Malaysia (RPM) Berhad untuk mengatur perjumpaan secepat mungkin dengan pihak kami," katanya pada sidang media selepas menghadiri Ziarah Kasih di Rumah Seniman Datuk M Daud Kilau,83, di Bagan Datuk di sini, hari ini.

Zahidi turut menyampaikan sumbangan kepada penyanyi veteran yang menghidap kencing manis, sakit pinggang dan jantung tidak stabil di rumahnya di Sungai Balai Baroh di sini.

Beliau berkata, K-KOMM berhasrat menubuhkan Perbadanan Industri Muzik bagi memastikan kebajikan semua anak seni terbela supaya tiada berlaku lagi perang mulut dalam kalangan persatuan membabitkan artis nyanyian mengenai isu royalti sebelum ini.

Sebelum ini dilaporkan, komposer dan penulis lirik S Atan meminta MACP supaya jika ada stesen televisyen atau radio yang gagal membayar royalti beliau supaya tidak menyiarkan lagu-lagunya.

Sementara itu, M Daud Kilau berkata, kesihatan beliau masih seperti dulu dan perlu bergantung dengan ubat-ubatan, selain perlu menjalani pemeriksaan kesihatan yang berkala sejak 2016.

"Keadaan kesihatan saya ketika ini tidak membolehkan saya menyanyi, tetapi saya belum mahu tinggalkan bidang ini kerana itu rezeki saya yang dilahirkan sebagai penghibur.

"Terserah jika Allah SWT sudah tetapkan dan masih boleh menyanyi, saya akan menyanyi, tetapi jika tidak, setakat ini sajalah saya reda," katanya.

Beliau turut mengakui sudah lama tidak menerima bayaran royalti daripada pihak bertanggungjawab.

"Royalti lagu memang dapat, tetapi setahun sekali pun tiada. Sebelum ini dapat RM300 hingga RM400, tetapi itu sudah lama. Saya bersyukur masih ada yang ingat pada saya termasuk memberi sumbangan," katanya. – BERNAMA

Zahidi (kanan) berbual dengan M Daud Kilau ketika melakukan Ziarah Kasih di rumahnya di Kampung Sungai Balai Baroh hari ini. - Foto BERNAMA
Zahidi (kanan) berbual dengan M Daud Kilau ketika melakukan Ziarah Kasih di rumahnya di Kampung Sungai Balai Baroh hari ini. - Foto BERNAMA
Berita Harian X