Selasa, 7 Jun 2022 | 11:35am

Pegawai Majlis Daerah Marang didakwa salah guna jawatan

KUALA TERENGGANU: Penolong Akauntan Kanan Majlis Daerah Marang (MDM) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, terhadap tuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan bagi kerja pemasangan karpet bernilai RM10,640.

Tertuduh, Sazawati Salleh, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Tertuduh didakwa menggunakan jawatannya dengan mencadangkan sebut harga syarikat untuk menjalankan kerja pemasangan karpet di ruang pejabat dan bilik pegawai bahagian kewangan MDM yang bernilai RM10,640.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di Bahagian Kewangan MDM di Marang pada 12 Januari 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang tinggi, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan menetapkan 17 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut meletakkan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan perlu melapor diri ke pejabat SPRM antara 1 hingga 5 hari bulan setiap bulan sepanjang prosiding.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Muhammad Husni Mubarak Ghazali.

Penolong Akauntan Kanan MDM, Sazawati Salleh (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, atas tuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan bagi kerja pemasangan karpet bernilai RM10,640. - Foto GHAZALI KORI
Penolong Akauntan Kanan MDM, Sazawati Salleh (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini, atas tuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan suapan bagi kerja pemasangan karpet bernilai RM10,640. - Foto GHAZALI KORI
Berita Harian X