Isnin, 6 Jun 2022 | 8:31pm
Aliran trafik menuju Plaza Tol Gombak menghala Lebuhraya Karak sesak dipenuhi kenderaan pada hari cuti umum Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong. - Foto ASYRAF HAMZAH
Aliran trafik menuju Plaza Tol Gombak menghala Lebuhraya Karak sesak dipenuhi kenderaan pada hari cuti umum Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong. - Foto ASYRAF HAMZAH

2.14 juta kenderaan di lebuh raya utama

KUALA LUMPUR: Sebanyak 2.14 juta kenderaan berada di beberapa lebuh raya utama, semalam, berikutan cuti sekolah serta cuti umum.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintendan Dr Bakri Zainal Abidin berkata, berdasarkan statistik, sebanyak 1.85 juta kenderaan direkodkan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan 192,112 kenderaan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Katanya, Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) pula masing-masing merekodkan 72,594 dan 31,001 kenderaan.

"Setakat jam 2 petang tadi, pergerakan kenderaan di lebuh raya seluruh negara dilaporkan perlahan dan cuaca dalam keadaan baik.

"Hanya berlaku kesesakan di kedua-dua arah laluan di Tambak Johor dan arah timur Plaza Tol Penawar, Johor," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bakri berkata, kesan kemalangan di Kilometer 42.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak selepas Plaza Tol Bentong ke Bukit Tinggi juga dilaporkan sesak dengan jangkaan kelewatan satu jam 11 minit perjalanan ke lokasi.

"Orang ramai dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan mengutamakan keselamatan di jalan raya," katanya.

Berita Harian X