Isnin, 6 Jun 2022 | 6:17pm

Pemandu Myvi rempuh pasangan OKU direman esok

JASIN: Pemandu Perodua Myvi yang dipercayai memandu berada di bawah pengaruh alkohol dan merempuh pasangan suami isteri orang kurang upaya (OKU) dalam kemalangan maut di Jalan Serkam Pantai, di sini, akan direman esok.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Amran@Mohamad Zaki Omar berkata, lelaki berusia 24 tahun itu yang juga pekerja kilang akan dibawa ke Mahkamah Majistret Jasin, untuk mendapatkan perintah reman.

"Selain itu, polis juga sedang menunggu laporan penuh ujian alkohol daripada pihak hospital," katanya.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 7.45 pagi tadi, Perodua Myvi yang disyaki dipandu pemandu bawah pengaruh alkohol turut merempuh motosikal ditunggang lelaki berusia 57, dan menyebabkan kenderaan terbabit terbakar selain penunggangnya cedera di badan.

Ketika kejadian, pasangan OKU dan lelaki berusia 57 itu dalam perjalanan dari arah Melaka menghala ke Merlimau manakala Perodua Myvi terbabit dari arah bertentangan.

Berita Harian X