KOTA BHARU: Sembilan daerah di Kelantan berada dalam zon merah kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dalam tempoh 10 hari hingga kelmarin.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, sembilan daerah berkenaan adalah Kota Bharu yang mencatat sebanyak 705 kes, diikuti Machang (157 kes), Tumpat (126 kes), Pasir Mas (116 kes), Tanah Merah (96 kes), Kuala Krai (92 kes), Bachok (89 kes), Gua Musang (85 kes) dan Pasir Puteh (75 kes).
Beliau berkata, hanya daerah Jeli berada dalam zon kuning dengan jumlah sebanyak 47 kes.
"Jumlah keseluruhan kes HFMD pada Minggu Epidemiologi (ME) 22/2022 dalam tempoh 10 hari sehingga kelmarin adalah sebanyak 1,588 kes. Angka berkenaan menjadikan kumulatif sebanyak 5,782 kes jangkitan untuk tahun ini.
"Kanak-kanak berusia antara satu hingga empat tahun paling ramai dijangkiti HFMD iaitu sebanyak 68.4 peratus, diikuti lima hingga enam tahun (14.4 peratus) dan tujuh hingga 12 tahun (8.3 peratus)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata, bilangan kanak-kanak yang dirawat di hospital adalah sebanyak dua kes di wad biasa dan seorang mangsa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Beliau berkata, jangkitan HFMD di negeri ini tidak teruk dan hanya bergejala ringan. Pesakit hanya menjalani kuarantin di rumah.
"Terdapat 25 wabak yang dilaporkan tahun ini iaitu 24 kes membabitkan taska atau tadika, manakala empat wabak adalah di rumah persendirian.
"Bagi membendung penyakit ini, JKNK memohon kerjasama daripada pihak taska dan ibu bapa supaya sentiasa menjaga kebersihan anak-anak. Ibu bapa juga dinasihatkan supaya tidak membawa anak-anak mereka tempat awam termasuk kolam renang, pasar, pusat membeli-belah dan stesen bas," katanya.