Ahad, 5 Jun 2022 | 7:03pm
Seramai 295 jemaah haji kumpulan pertama dari Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, kira-kira jam 9.30 malam tadi waktu Malaysia. - FOTO BERNAMA
Seramai 295 jemaah haji kumpulan pertama dari Malaysia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, kira-kira jam 9.30 malam tadi waktu Malaysia. - FOTO BERNAMA

295 jemaah haji Malaysia selamat tiba di Madinah

MADINAH: Seramai 295 jemaah haji kumpulan pertama dari Malaysia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, kira-kira jam 9.30 malam tadi waktu Malaysia.

Ketibaan mereka di Hotel Anwar Al Madinah Movenpick yang terletak bersebelahan pekarangan Masjid An Nabawi, disambut oleh Konsul Haji, Mohammad Saimi Mat Som; Konsul di Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia, Farah Syafina Bahari; dan Ketua Canseri, Konsulat Malaysia di Jeddah, Muhammad Hafiz Bahar.

Mohammad Saimi berkata, Lembaga Tabung Haji (TH) amat bersyukur atas ketibaan itu, dan ia mengubat kerinduan pada senario musim haji selepas dua tahun tertangguh akibat penularan COVID-19.

"Kami mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan Kerajaan Arab Saudi terutama Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman Abdulaziz dan Putera Mahkota Mohamad Salman, atas keputusan membuka ibadat haji kepada negara luar.

"Kami juga mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Kementerian Luar, Syarikat Adila dan pihak berkuasa tempatan serta Kedutaan Malaysia di Arab Saudi, yang sentiasa membantu memudahkan apa juga peraturan dan syarat yang perlu dipatuhi dalam semua urusan jemaah haji Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita, di sini.

Dengan ketibaan jemaah, beliau berkata, bermulalah operasi haji di Tanah Suci dan pihaknya akan terus memastikan kemudahan dapat diuruskan dengan baik serta teratur.

"Semua jemaah haji Malaysia perlu menjaga kesihatan dan kebersihan diri agar sentiasa berada pada tahap terbaik.

"Mereka juga perlu mengikuti segala nasihat dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan petugas dari semasa ke semasa. Cuaca di Madinah agak panas yang mencecah 50 darjah Celcius, justeru elakkan terdedah terlalu lama di bawah cahaya matahari," katanya.

Seramai 14,306 jemaah haji Malaysia akan menunaikan Rukun Islam kelima itu, tahun ini, dan mereka dijadualkan tiba di Madinah serta Makkah secara berperingkat. – BERNAMA

Berita Harian X